Eksport minyak Iraq terjejas akibat ketegangan di Selat Hormuz

Medan minyak dan gas di pinggir bandar Basra Iraq/Foto AFP

BAGHDAD, 21 Ogos – Eksport minyak Iraq semakin terjejas susulan ketegangan berterusan di Selat Hormuz, dengan jumlah penghantaran masih jauh lebih rendah berbanding paras sebelum konflik Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selat Hormuz penting untuk eksport; penghantaran sekitar dua juta tong sehari, masih jauh di bawah paras pra-konflik kira-kira 3.4 juta.
  • Kebergantungan minyak menyumbang kira-kira 90 peratus hasil negara, menjejaskan pembiayaan belanjawan dan memaksa bank pusat menyokong dasar fiskal.
  • Kekangan logistik dan diplomatik, ketiadaan kapal tangki sendiri dan kos insurans tinggi menyukarkan eksport; Iraq sedang runding dengan AS dan Iran.

Selat Hormuz menjadi laluan penting bagi eksport minyak Iraq. Walaupun eksport negara itu meningkat kepada kira-kira dua juta tong sehari, jumlah berkenaan masih jauh di bawah paras sebelum konflik iaitu kira-kira 3.4 juta tong sehari.

Keadaan itu memberi kesan kepada ekonomi Iraq yang bergantung kepada eksport minyak yang menyumbang kira-kira 90 peratus hasil negara.

Profesor Ekonomi Universiti Al-Mustansiriya, Safwan Qusay, berkata keadaan itu memberi tekanan besar terhadap ekonomi dan pembiayaan perbelanjaan kerajaan.

“Kami memerlukan laluan penghantaran yang selamat serta jaminan perlindungan insurans bagi memastikan penghantaran minyak Iraq dapat diteruskan seperti biasa. Pada masa ini, minyak Iraq dijual di pasaran global pada harga purata kira-kira AS$25 setong, lebih rendah berbanding harga pasaran dunia.

“Keadaan ini menyebabkan Iraq menanggung kerugian besar, sekali gus memberi tekanan terhadap pembiayaan belanjawan dan keupayaan kerajaan mengekalkan perbelanjaan seperti yang diperuntukkan undang-undang.

“Negara memerlukan kira-kira AS$7 bilion hingga AS$8 bilion sebulan bagi menampung perbelanjaan. Buat masa ini, bank pusat menjadi sandaran utama dalam menyokong dasar fiskal, namun keadaan itu tidak boleh berterusan selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Penyelidik Hal Ehwal Politik, Majash Al-Tamimi, berkata kekangan logistik dan diplomatik turut menyebabkan Iraq mengurangkan eksport minyak.

Beliau berkata Iraq sedang berusaha mendapatkan persetujuan daripada pihak AS dan Iran, namun setakat ini belum menerima kelulusan.

“Iraq tidak memiliki kapal tangki sendiri dan bergantung kepada syarikat lain, manakala kos insurans tinggi menjejaskan eksport minyak”, katanya.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.