KPWKM bantu 3,600 mangsa penderaan rumah tangga setakat Ogos

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Seramai 3,600 wanita mangsa penderaan rumah tangga telah dibantu sehingga 7 Ogos lalu melalui Program Kita Wanita@KRT di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKW).

RINGKASAN BERITA AI
  • KPWKW lancarkan SARI@KRT Road To EVAW sebagai intervensi nasional, mensasarkan 1,400 wanita, 100 setiap negeri.
  • Bantuan merangkumi sokongan terhadap kes keganasan, bantuan kewangan dan pengangkutan bagi urusan mahkamah seperti tuntutan nafkah.
  • Masyarakat diminta tidak berdiam diri; dekati mangsa dengan empati, beri maklumat tepat dan bantu akses saluran sokongan.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, kes penderaan rumah tangga semakin meningkat saban tahun dan ia tidak boleh dipandang ringan.

Sebagai langkah intervensi, KPWKW kini melangkah ke fasa seterusnya dengan Program Santun Kasih Pemandiri Terhadap Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT): Road To Eliminate Violence Against Women (EVAW).

“Program ini dilaksanakan di seluruh negara dengan sasaran 1,400 wanita, iaitu 100 orang bagi setiap negeri.

“Bantuan bukan hanya tertumpu kepada kes keganasan, tetapi turut merangkumi bantuan kewangan serta sokongan bagi membolehkan mereka berulang-alik ke mahkamah untuk urusan seperti penuntutan nafkah,” beliau berkata demikian semasa pelancaran program, hari ini.

Tambah beliau lagi, usaha itu selaras dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030, khususnya dalam memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan wanita.

Datuk Seri Nancy turut mengingatkan bahawa usaha membendung keganasan rumah tangga dan melindungi mangsa ini perlu disertai dengan komitmen daripada masyarakat.

“Sekiranya kita melihat atau mengetahui seseorang berada dalam keadaan berisiko, jangan memilih untuk berdiam diri.

“Dekati mereka dengan empati, berikan maklumat yang tepat dan bantu mereka mendapatkan sokongan melalui saluran yang bersesuaian,” katanya lagi.

Kemuncak Sambutan EVAW ini akan diraikan pada 25 November 2026, bersempena dengan Hari Antarabangsa Bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.