Lelaki asing direman 11 hari bantu siasatan kes rampasan dadah RM8.29 juta

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dalam sidang media di ibu negara – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Dadah bernilai RM8.29 juta dirampas menerusi serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Kuchai Lama, Brickfield.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 79.95 kg methamphetamine dan 28.69 kg pil ekstasi hasil serbuan pada 9 Ogos.
  • Seorang lelaki warganegara asing, 36 tahun, ditahan; direman 11 hari mulai 10 Ogos untuk membantu siasatan.
  • Polis percaya premis digunakan sebagai stor dan pusat edaran sejak awal tahun; sebuah kenderaan disita dan rampasan berisiko digunakan oleh 495,383 penagih.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan, serbuan yang dijalankan pada 9 Ogos lepas telah membawa kepada rampasan 79.95 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan 28.69 kg pil ekstasi.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat risikan berhubung kegiatan pengedaran dadah berbahaya, seterusnya membawa kepada penahanan seorang lelaki warganegara asing berusia 36 tahun.

“Kita percaya subjek ini bersama dengan beberapa subjek lagi yang masih bebas telah menjalankan aktiviti ini sejak awal tahun ini dan kita percaya premis yang kita serbu itu digunakan sebagai tempat menyimpan dan seterusnya aktiviti mengedarkan dadah ini untuk permintaan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara.

Menurut Datuk Fadil, sebuah kenderaan bernilai RM 85,000 turut disita.

Suspek direman selama 11 hari bermula 10 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dan suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan dadah atau jenayah.

Jumlah dadah yang dirampas menerusi serbuan berkenaan berisiko digunakan oleh 495,383 penagih.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.