Kes tanam janin: Bekas teman lelaki suspek akan ditahan bantu siasatan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat / Foto Fail BERNAMA

KOTA BHARU, 19 Ogos – Polis Kelantan akan menahan bekas teman lelaki seorang wanita bagi membantu siasatan kes penemuan janin berusia lima bulan yang ditanam di Kuala Krai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak polis sudah mengenal pasti identiti lelaki yang dipercayai terbabit.
  • Siasatan menumpukan sama ada janin meninggal dalam kandungan atau selepas dilahirkan.
  • Suspek wanita direman empat hari; perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret.
  • Janin lima bulan ditemui ditanam di RPT Batu Mengkebang; kejadian dipercayai berlaku pada 2024.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan, pihaknya sudah mengenal pasti identiti lelaki berkenaan.

Jelas beliau, fokus siasatan meliputi semua aspek termasuk kematian janin berkenaan yang dipercayai hasil hubungan sulit wanita berusia 30 tahun itu dengan bekas teman lelakinya.

“Kita buat siasatan lanjut dan tangkapan sebab kita mahu siasat sama ada meninggal ketika dalam kandungan ataupun selepas dilahirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Polis ke-219 dan Program Flag Off sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Tahun 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.

Wanita yang baru tiga hari bergelar pengantin baharu itu direman empat hari bagi membantu siasatan penemuan mayat janin berkenaan yang dipercayai berlaku pada 2024.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Pasir Puteh pada Isnin lalu.

Bekas suami wanita itu yang bekerja sebagai buruh binaan turut ditahan reman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Sebelum itu, polis menerima laporan mengenai penemuan janin berusia lima bulan yang ditanam di tepi sebuah rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang dengan kejadian itu dipercayai berlaku pada 2024.

Wanita yang mempunyai tiga anak itu kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai pada Ahad lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.