
REMBAU, 17 Ogos – Kedudukan Malaysia pada tangga ke-10 Kedudukan Pertandingan Kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), membuktikan peningkatan daya saing bola sepak negara pada pentas Asia.
- Peningkatan kedudukan AFC mencerminkan prestasi kelab tempatan yang semakin baik dan penerimaan liga Malaysia di peringkat Asia meningkat.
- Johor Darul Ta’zim menjadi penyumbang utama menerusi prestasi konsisten dalam saingan elit Asia.
- Kedudukan lebih baik membuka peluang tambahan untuk pasukan tempatan; setiap kelab perlu perancangan jelas dan pembangunan berterusan.
Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata perkembangan itu, mencerminkan peningkatan prestasi kelab-kelab bola sepak tempatan pada peringkat Asia, susulan prestasi konsisten wakil negara dalam saingan benua.
Beliau berkata Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi antara penyumbang utama kepada perkembangan positif itu, menerusi prestasi konsisten dalam saingan elit Asia.
“Perkembangan ini sangat penting, kerana kita tahu macam mana menilai liga. Keduanya, penerimaan masyarakat dunia, Asia khususnya sekali gus menunjukkan liga kita ini berpotensi dan menjadi pilihan untuk mereka beraksi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Penajaan antara Bubble O2 dan MFL, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Bubbles O2 Datuk Arifin Marzuki, Ketua Pengawai Eksekutif Bubbles O2 Abdul Aziz Arifin dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Mohd Shazli Shaik Mohd.
Media sebelum ini melaporkan berdasarkan laman Footy Rankings, Malaysia mengumpul 40.809 mata hasil kutipan wakil negara dalam saingan kelab Asia musim lepas, sekali gus melonjakkan kedudukan negara daripada tangga ke-11 ke tangga ke-10 terbaik di Asia, selepas memintas China.
Ab Ghani berkata peningkatan kedudukan itu, bakal membuka lebih banyak peluang kepada pasukan tempatan untuk beraksi pada pentas tertinggi Asia, namun setiap kelab perlu mempunyai perancangan yang jelas dan berterusan, bagi membantu meningkatkan mutu bola sepak negara. – BERNAMA