
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Keadaan kualiti udara di seluruh negara terus menunjukkan trend semakin baik dengan hanya satu kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 12 tengah hari.
- 58 stesen pengawasan kualiti udara merekodkan bacaan pada tahap sederhana.
- Stesen Serian dan Samarahan di Sarawak mencatatkan penurunan bacaan IPU kepada 94 dan 85.
- Data IPU dikemas kini setiap jam daripada 68 stesen; orang ramai disarankan semak portal rasmi APIMS.
Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan IPU 140, menurun berbanding 150 pada pukul 9 pagi tadi.
Menurut data Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 58 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan pada tahap sederhana.
Di Sarawak, stesen Serian dan Samarahan masing-masing mencatatkan bacaan IPU 94 dan 85, turut menunjukkan penurunan berbanding sebelah pagi tadi.
Sebanyak lapan kawasan lain pula merekodkan bacaan IPU pada tahap baik.
Berdasarkan klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Data IPU dikemas kini setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara yang beroperasi di seluruh negara.
Orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara menerusi portal rasmi APIMS.