Kekurangan jururawat: MAPSU sambut baik strategi KKM

Pengerusi Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU), Ajulahin Japin – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani kekurangan jururawat bukan sahaja bertujuan menambah tenaga baharu, malah memastikan jururawat sedia ada kekal dalam perkhidmatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAPSU menyokong strategi KKM tetapi menegaskan perlunya penambahbaikan bagi mengurangkan tekanan kerja dan mengekalkan jururawat.
  • Segera isi kekosongan di fasiliti beban tinggi, perbaiki nisbah jururawat-pesakit dan perkukuh laluan kerjaya serta kepakaran.
  • Utamakan insentif, keselamatan, kebajikan dan kesihatan mental petugas serta perhatian khusus kepada Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman.

Pengerusi Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU), Ajulahin Japin berkata, pihaknya menyokong tiga strategi utama yang digariskan KKM, namun usaha itu perlu disusuli langkah penambahbaikan bagi mengurangkan tekanan terhadap petugas.

“Penyelesaian isu kekurangan jururawat bukan hanya soal menambah angka, tetapi memastikan jururawat yang sedang berkhidmat terus kekal, dihargai dan bekerja dalam persekitaran yang lebih baik,” katanya kepada RTM.

Antara cadangan MAPSU termasuk mempercepat pengisian kekosongan di fasiliti yang mempunyai beban kerja tinggi, memperbaiki nisbah jururawat-pesakit serta memperkukuh laluan kerjaya dan peluang kepakaran.

Selain itu, insentif, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan mental petugas perlu diberi perhatian bagi memastikan tenaga berpengalaman terus berada dalam sistem kesihatan negara.

“Jururawat bukan sekadar angka dalam perjawatan. Mereka adalah tulang belakang sistem penyampaian kesihatan negara. Pendekatannya perlu merangkumi rekrut, kekalkan, hargai dan perkasa,” tambah beliau.

MAPSU juga mahu keperluan Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman diberi perhatian khusus, termasuk aspek penempatan, kemudahan serta kekurangan tenaga kerja.

Pihaknya bersedia bekerjasama dengan KKM bagi memperkukuh strategi tenaga kejururawatan demi memastikan perkhidmatan kesihatan terus berkualiti dan memenuhi keperluan rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Sabtu berkata, KKM menggariskan tiga strategi utama bagi menangani isu kekurangan jururawat, termasuk meningkatkan pengeluaran tenaga kejururawatan, memperluas laluan kerjaya serta membolehkan pengambilan terus dan autonomi dalam pengurusan perjawatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.