
BERA, 16 Ogos – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memperkukuh transformasi pendidikan awal KEMAS dengan mengimbangi pembentukan nilai dan agama serta penguasaan teknologi, selaras keperluan generasi masa hadapan.
- KEMAS perlu memasuki fasa baharu, berevolusi dengan perubahan zaman tanpa mengabaikan asas pembentukan insan.
- Penurunan umur permulaan persekolahan menambah kepentingan TASKA dan TABIKA sebagai asas sebelum sekolah formal.
- Pendidikan awal mesti selaras dengan persekitaran digital; tidak boleh terpisah daripada perkembangan teknologi.
- Perlu peluasan Smart Class, penggunaan smartboard serta kerjasama kerajaan dan wakil rakyat untuk naik taraf prasarana pembelajaran.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selepas lebih enam dekad penubuhannya KEMAS perlu memasuki fasa baharu dengan terus berevolusi mengikut perubahan zaman tanpa mengabaikan asas pembentukan insan.
Menurut beliau, perubahan dalam ekosistem pendidikan negara, termasuk penurunan umur permulaan persekolahan daripada tujuh kepada enam tahun, menjadikan pendidikan awal menerusi TASKA dan TABIKA semakin penting sebagai asas sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan formal.
“Generasi hari ini membesar dalam persekitaran digital dan pendidikan awal negara tidak boleh terpisah daripada perkembangan tersebut,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Warga KEMAS Negeri Pahang, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sehubungan itu, beliau berkata pendidikan KEMAS perlu bergerak seiring perkembangan teknologi termasuk melalui peluasan pelaksanaan Smart Class dan penggunaan smartboard di TABIKA KEMAS.
Beliau turut berkata kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu terus diperkukuh bagi membantu menyediakan kemudahan teknologi, menaik taraf bangunan serta menambah baik persekitaran pembelajaran di TABIKA dan TASKA KEMAS.