Pemansuhan AUKU, perkukuh reformasi tadbir urus pendidikan tinggi – UMT

Gambar hiasan/Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Pengumuman untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan peluang penting untuk memperkukuh reformasi tadbir urus pendidikan tinggi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Meningkatkan autonomi institusi pengajian tinggi agar lebih relevan, berdaya saing dan responsif kepada perubahan.
  • Memperjelas akauntabiliti universiti awam serta menetapkan tanggungjawab institusi dalam tadbir urus pendidikan tinggi.
  • Membangunkan ekosistem akademik yang lebih terbuka, dinamik, inovatif dan berdaya tahan.
  • Kebebasan akademik mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab berlandaskan integriti, etika dan akauntabiliti, memupuk pemikiran kritis serta kreativiti.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Suriyani Muhamad, peluang itu khususnya dalam meningkatkan autonomi institusi, memperjelas akauntabiliti universiti awam serta membangunkan ekosistem akademik yang lebih terbuka, dinamik, inovatif dan berdaya tahan.

“Pembaharuan kerangka perundangan ini juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026–2035) yang menekankan transformasi, kecemerlangan, daya tahan serta pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi negara”, jelasnya yang menjalankan fungsi Naib Canselor menerusi kenyataan media.

Tambah Profesor Dr. Suriyani, UMT melihat pembaharuan perundangan universiti sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih menyeluruh untuk memastikan institusi pendidikan tinggi terus relevan, berdaya saing dan responsif terhadap perubahan serta tuntutan masa hadapan.

UMT juga berpandangan bahawa kebebasan tersebut perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan seiring dengan prinsip integriti, etika, akauntabiliti serta tanggungjawab institusi.

Beliau juga percaya bahawa universiti awam perlu terus menjadi ruang yang kondusif bagi perkembangan ilmu, pemikiran kritis, kreativiti dan inovasi, di samping membentuk generasi yang berani berfikir, matang dalam menyampaikan pandangan dan bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan mereka kepada masyarakat dan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.