Jerebu: Tiga kawasan di Sarawak catat IPU tidak sihat

Pemandangan sekitar Bandar Raya Kuching diselubungi jerebu ketika tinjauan foto Bernama pada 7 Ogos lalu/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Ogos – Tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 11 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jerebu dipercayai dipengaruhi pergerakan asap dari pelbagai arah serta titik panas di Kalimantan, Sumatera dan beberapa kawasan Malaysia.
  • ASMC mengesan 132 titik panas di Kalimantan, 115 di Sumatera dan enam di Malaysia pada 15 Ogos.
  • Pelan tindakan diaktifkan, JAS tingkatkan penguatkuasaan. Pembakaran terbuka boleh dikenakan denda RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, kawasan terbabit ialah IPD Serian dengan bacaan IPU 162, Samarahan (155) dan Kuching (132).

“Tiada kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala 65 kawasan berada pada tahap sederhana

“Keadaan jerebu di Sarawak dipercayai dipengaruhi pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 15 Ogos, sebanyak 132 titik panas dikesan di Kalimantan, 115 di Sumatera dan enam di Malaysia membabitkan Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

Azuri berkata, Peta Jerebu Serantau ASMC pada 16 Ogos menunjukkan titik panas bertaburan di kebanyakan kawasan Kalimantan serta beberapa kawasan di Pulau Jawa, Kepulauan Sunda Kecil, Sulawesi dan selatan Sumatera.

“Walau bagaimanapun, litupan awan yang meluas menghalang pemerhatian penuh terhadap situasi titik panas dan jerebu semasa,” katanya.

Beliau berkata, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan menangani pembakaran terbuka dan situasi jerebu.

“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan memastikan tanah atau premis tidak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

“Pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga maksimum RM1 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Orang ramai boleh melaporkan kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.