Lima maut akibat ribut dan banjir di Indiana

Keadaan banjir di bahagian utara Indianapolis, Indiana./ AFP

INDIANA, 16 Ogos – Sekurang-kurangnya lima maut akibat ribut kuat dan banjir yang melanda Indiana di bahagian barat tengah Amerika Syarikat minggu ini, menurut pihak berkuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Puluhan penduduk berjaya diselamatkan, ratusan dipindahkan akibat kawasan dinaiki air.
  • Ribut membawa puting beliung dan derecho, iaitu ribut angin meluas dan berpanjangan.
  • Mangsa termasuk wanita 58 tahun kenderaannya dihanyutkan, remaja 18 tahun terjun ke sungai, kanak-kanak 4 tahun maut.
  • Gabenor Braun berbincang dengan Presiden Donald Trump untuk memohon bantuan persekutuan.

Puluhan penduduk berjaya diselamatkan dari kawasan yang dinaiki air, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan dari kediaman masing-masing susulan cuaca buruk itu, lapor akhbar The Indianapolis Star.

Gabenor Indiana, Mike Braun, berkata ribut mula melanda negeri berkenaan pada Selasa, membawa puting beliung serta derecho, iaitu ribut angin yang meluas dan berpanjangan.

Antara mangsa yang maut termasuk seorang wanita berusia 58 tahun yang dipercayai terperangkap selepas kenderaannya dihanyutkan arus banjir, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang terjun ke sungai yang sedang melimpah bersama rakan-rakannya, serta kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut selepas sebatang pokok tumbang menghempap sebuah rumah, menurut laporan media tempatan.

Foto AFP

Braun dalam hantaran di platform X berkata beliau turut mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Sabtu berhubung “ribut teruk dan banjir bersejarah” itu bagi memohon bantuan persekutuan.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Indiana, Jonathan Whitham, berkata operasi pembersihan dan pemulihan yang sangat besar diperlukan susulan bencana berkenaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.