
TUARAN , 14 Ogos – Kerajaan Negeri Sabah sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark atau KUGGp bagi merangkumi sebahagian kawasan daerah Tuaran.
- Penemuan EGOS 2025: Tuaran miliki ciri geologi unik, biodiversiti kaya, warisan budaya signifikan serta pengetahuan komuniti bernilai.
- Aset geologi dan budaya perlu dikaji, didokumentasikan dan dikekalkan sebelum dimasukkan dalam rangka pemuliharaan dan pembangunan mampan.
- Pelan Pengurusan KUGGp 2026 hingga 2035 menggantikan Pelan Interim, fokus pemuliharaan, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.
- Pengurusan diperkukuh melalui jawatankuasa, program geopark meluas, dan penyertaan komuniti seiring sasaran model landskap bersepadu menjelang 2035.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, cadangan itu susulan penemuan awal Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman atau EGOS 2025 yang dijalankan pada April tahun lalu.
Beliau berkata, ekspedisi berkenaan mendapati Tuaran mempunyai ciri geologi unik, biodiversiti yang kaya, warisan budaya signifikan serta pengetahuan komuniti yang bernilai.
Katanya, aset berkenaan perlu dikaji dan didokumentasikan dengan teliti sebelum dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam kerangka pemuliharaan dan pembangunan mampan yang lebih luas.
Beliau berkata demikian dalam majlis penutupan Misi Penilaian Semula KUGGp di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik, Tuaran.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Ketika ini, KUGGp meliputi kira-kira 4,750 kilometer persegi merentasi tiga daerah, iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian Ranau.
Katanya, pengurusan kawasan yang luas serta melibatkan pelbagai bidang kuasa pentadbiran dan komuniti memerlukan strategi jangka panjang yang jelas dan terselaras.
Sehubungan itu, Pelan Pengurusan Kinabalu UNESCO Global Geopark 2026 hingga 2035 diperkenalkan bagi menggantikan Pelan Pengurusan Interim 2021 hingga 2025.
Pelan baharu tersebut mengintegrasikan tonggak utama geopark merangkumi pemuliharaan sumber, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.
Ia akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu pembinaan asas, pemecutan dan transformasi, berpandukan sembilan tema strategik menuju 2035.
Tambahnya, Misi Penilaian Semula KUGGp yang bermula 10 Ogos lalu bukan sekadar untuk mengekalkan pengiktirafan UNESCO, sebaliknya menjadi peluang memperkukuh institusi, menambah baik pengurusan dan meningkatkan penyertaan komuniti.
Menurutnya, pengiktirafan antarabangsa tersebut mesti diterjemahkan kepada manfaat nyata menerusi pemuliharaan lebih kukuh, pendidikan lebih baik, komuniti berdaya tahan serta peluang ekonomi yang lebih adil.
Menjelang 2035, KUGGp disasarkan menjadi model pengurusan landskap bersepadu bertaraf global yang mengimbangi pemuliharaan, kesejahteraan komuniti dan kemakmuran mampan.
Dalam pada itu, beliau berkata struktur tadbir urus KUGGp turut diperkukuh menerusi beberapa jawatankuasa berkaitan infrastruktur dan pemerkasaan komuniti, pemuliharaan dan geopelancongan, pelancongan serta promosi, selain jaringan dan kerjasama.
Menurutnya, pelbagai program seperti Jangkauan Geopark, Kem Geopark, Rakan Geopark dan Sekolah Geopark turut diperluaskan bagi membangunkan kemahiran, menjana pendapatan dan membuka lebih banyak peluang kepada komuniti tempatan.
Tegasnya, pendekatan tersebut selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya atau SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menekankan pembangunan Sabah yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.