
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Keadaan cuaca panas ketika ini terus dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA), khususnya melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan para atlet.
- Setakat ini tiada keperluan untuk menukar atau menangguhkan mana-mana jadual acara SUKMA.
- Pemantauan suhu persekitaran di venue dilakukan secara berkala dan sebarang amaran MetMalaysia akan diberi perhatian.
- Atlet dinasihatkan memastikan pengambilan air mencukupi dan sentiasa menjaga tahap kesihatan sepanjang pertandingan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, setakat ini belum ada keperluan untuk menukar atau menangguhkan mana-mana jadual acara susulan keadaan cuaca semasa.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII & PARA SUKMA Selangor 2026 menegaskan, pemantauan terhadap suhu persekitaran di setiap venue SUKMA akan dilakukan secara berkala memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Alhamdulillah, setakat ini tidak ada lagi situasi yang memerlukan kita menukar ataupun menangguhkan jadual acara kita.
“Yang paling mustahak, atlet-atlet sendiri perlu sentiasa menjaga kesihatan mereka, jangan kurang minum air dan sebagainya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan sebarang amaran daripada pihak berkuasa, terutamanya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), akan sentiasa diberi perhatian bagi membolehkan sebarang tindakan atau persiapan susulan dibuat demi keselamatan kontinjen bertanding.
“Kalau ada amaran daripada pihak berkuasa ataupun daripada Jabatan Meteorologi dan sebagainya untuk kita buat persiapan, kita akan bersiap sedia.
“Cuma daripada semasa ke semasa kita memantau,” katanya selepas menjadi tetamu Program Selamat pagi Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, atlet bertanding di pentas SUKMA turut dinasihatkan supaya memastikan pengambilan air mencukupi serta sentiasa menjaga tahap kesihatan sepanjang pertandingan.