
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Orang ramai dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap sinaran ultraungu (UV) ketika negara sedang melalui Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga September ini.
- Pendedahan UV meningkat apabila cuaca lebih panas, kurang hujan dan langit cerah; berwaspada semasa melakukan aktiviti luar.
- Perhatian kepada waktu puncak antara 11 pagi hingga 4 petang kerana sinaran UV lazimnya mencapai tahap maksimum.
- Ambil langkah pencegahan: pelindung matahari SPF30 atau lebih, pakaian sesuai, topi dan cermin mata hitam berperlindungan UV.
- Berteduh atau berada di kawasan berbumbung, minum air mencukupi dan beri perhatian khas kepada kanak-kanak, warga emas serta pekerja luar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan cuaca yang lebih panas, kurang hujan dan langit lebih cerah boleh meningkatkan pendedahan orang ramai kepada sinaran UV, khususnya ketika melakukan aktiviti luar.
Menurut beliau, tempoh antara 11 pagi hingga 4 petang perlu diberi perhatian kerana sinaran UV lazimnya mencapai tahap maksimum dalam tempoh berkenaan.
“Tahap sinaran UV yang sampai ke permukaan bumi dipengaruhi beberapa faktor termasuk kedudukan matahari, litupan awan, kandungan ozon serta keadaan atmosfera semasa.
“Lapisan ozon merupakan pelindung semula jadi Bumi daripada sinaran UV Matahari,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan termasuk mengurangkan aktiviti luar pada waktu puncak, menggunakan pelindung matahari dengan SPF 30 atau lebih, selain memakai pakaian bersesuaian, topi dan cermin mata hitam yang mempunyai perlindungan UV.
Orang ramai juga disaran berteduh atau berada di kawasan berbumbung jika perlu berada di luar serta memastikan pengambilan air mencukupi, terutama ketika cuaca panas.
Ahmad Zahid turut meminta perhatian khusus diberikan kepada kanak-kanak, warga emas dan individu yang banyak bekerja di luar bangunan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan suhu panas tidak semestinya bermaksud Indeks UV berada pada tahap tinggi kerana kedua-duanya tidak mempunyai hubungan secara langsung.
Justeru, orang ramai disaran sentiasa peka terhadap keadaan semasa dan mengikuti maklumat serta nasihat yang dikeluarkan MET Malaysia bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.
“Jaga diri, jaga keluarga dan jangan ambil mudah apabila berada terlalu lama di bawah sinaran matahari,” katanya.