
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperluas kerjasama antarabangsa dalam pengukuhan dasar dan kerangka perundangan persaingan serta aspek penguatkuasaan.
- MoU ditandatangani antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan Suruhanjaya Persaingan Hong Kong bagi kerjasama bidang persaingan.
- Pertukaran maklumat mengenai pindaan perundangan, pengalaman siasatan dan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan.
- Kerjasama teknikal melalui latihan, bengkel, penempatan sementara pegawai dan kolaborasi penyelidikan untuk tingkatkan keupayaan penguatkuasaan.
- MoU membabitkan perbincangan isu persaingan rentas sempadan serta tindakan penguatkuasaan dua hala atau bersama pihak berkuasa antarabangsa.
Komitmen itu menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Persaingan Hong Kong (HKCC).
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata MoU tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meluaskan jaringan strategik bersama pihak berkuasa persaingan antarabangsa demi memelihara serta menggalakkan pasaran yang sihat serta adil.
“MoU ini merangkumi pertukaran maklumat mengenai perkembangan penting berkaitan undang-undang persaingan termasuk pindaan perundangan, perkongsian pengalaman berkaitan siasatan dan jalinan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.
“Selain itu, kerjasama teknikal bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan melalui program latihan, bengkel, penempatan sementara pegawai dan kolaborasi penyelidikan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, MoU tersebut turut menyentuh mengenai kerjasama dalam membincangkan serta menangani isu persaingan rentas sempadan dan penguatkuasaan undang-undang persaingan secara dua hala atau bersama pihak berkuasa persaingan antarabangsa.
Dokumen perjanjian MoU itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif HKCC, Rasul Butt yang disaksikan oleh Pengerusi MyCC, Tan Sri Datuk Seri Idrus Harun serta Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong, Algernon Yau.
MoU MyCC bersama HKCC merupakan kerjasama antarabangsa keempat selepas jalinan strategik dimeterai dengan Pihak Berkuasa Persaingan Turkiye, Suruhanjaya Perdagangan Adil Korea dan Suruhanjaya Persaingan Filipina.
Sementara itu, Datuk Armizan berkata persekitaran ekonomi yang semakin kompleks dan saling berhubung, isu persaingan turut melibatkan aktiviti perniagaan dan entiti yang merentasi sempadan.
“Kerjasama antara pihak berkuasa persaingan pelbagai negara amat penting bagi membolehkan perkembangan pasaran serta cabaran penguatkuasaan ditangani dengan lebih berkesan,” katanya lagi.
KPDN melalui MyCC akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa persaingan di peringkat serantau dan antarabangsa bagi memperkukuh kapasiti institusi dan memastikan ekosistem persaingan negara kekal dinamik serta berdaya saing demi kepentingan pengguna dan ekonomi negara.