Ujian GMO MR219: Hanya plot terkawal, bukan untuk komersial

Foto RTM

SERDANG, 12 Ogos – Cadangan melaksanakan ujian lapangan padi diubah suai secara genetik (GMO) membabitkan varieti MR219 di Perak hanyalah plot ujian terkawal dan bukan kelulusan untuk penggunaan GMO secara komersial di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia masih tidak membenarkan penggunaan GMO; ujian terkawal diperlukan untuk keputusan berasaskan data dan bukti saintifik.
  • Plot ujian akan dilaksanakan secara terkawal, dipantau ketat dan direkodkan supaya isu tidak merebak.
  • Penerokaan teknologi baharu penting kerana tanah pertanian semakin terhad untuk meningkatkan produktiviti dan keterjaminan makanan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, Malaysia ketika ini masih tidak membenarkan penggunaan GMO, namun kajian dan ujian terkawal perlu dilaksanakan bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan berasaskan data serta bukti saintifik.

“Penelitian itu penting bagi menilai potensi teknologi GMO dalam membantu menangani cabaran keterjaminan makanan negara pada masa hadapan,” katanya ketika mengulas kebimbangan sekumpulan pertubuhan yang menggesa kerajaan menolak cadangan ujian lapangan membabitkan varieti MR219 di Kampung Kepayang, Perak, atas faktor keselamatan makanan, pencemaran alam sekitar dan kemungkinan peningkatan penggunaan racun herba.

Datuk Seri Isham memberi jaminan plot ujian berkenaan akan dilaksanakan secara terkawal, dipantau ketat serta direkodkan bagi memastikan sebarang isu yang timbul tidak merebak ke kawasan lain.

“Plot ujian adalah sesuatu yang terkawal, dipantau dan direkodkan supaya sekiranya terdapat sebarang isu yang berlaku di plot tersebut, ia tidak merebak ke kawasan lain.

“Kami berharap para pesawah dapat memahami bahawa kita tidak menjalankan ujian ini untuk memusnahkan tanah pertanian, sebaliknya untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai GMO.

“Negara-negara lain di dunia sudah menggunakan GMO, tetapi buat masa ini Malaysia tidak membenarkan penggunaan GMO,” katanya pada sidang media khas sempena MAHA 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penerokaan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti pertanian perlu diberi perhatian susulan tekanan terhadap penggunaan tanah pertanian yang semakin terhad akibat pembangunan.

Katanya, keluasan tanah pertanian yang semakin berkurangan perlu dimanfaatkan secara optimum bagi memastikan keperluan makanan kira-kira 34 juta penduduk negara dapat dipenuhi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.