
KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, minggu depan bersempena Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) Ke-27 Malaysia-Brunei Darussalam.
- Perdana Menteri memaklumkan menerima panggilan telefon daripada Sultan Brunei melalui hantaran Facebook.
- Perbualan menunjukkan keprihatinan Baginda, yang bertanya khabar serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Perdana Menteri.
- Anwar menjunjung kasih atas doa Baginda dan mendoakan agar Sultan dikurniakan kesihatan serta rahmat Allah SWT.
- Sebelum ini beliau menjalani pembedahan laparoskopi bagi merawat penyakit hernia perut.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Seri Anwar dalam hantaran di laman Facebook selepas menerima panggilan telefon daripada Sultan Brunei yang juga Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Menurut Perdana Menteri, perbualan telefon berkenaan memperlihatkan keprihatinan Sultan Hassanal Bolkiah yang bertanya khabar serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau.
“Baginda dengan penuh keprihatinan bertanya khabar serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan saya. Menjunjung kasih atas doa dan keprihatinan Kebawah Duli Tuanku.
“Saya turut mendoakan agar Kebawah Duli Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar menjalani prosedur pembedahan laparoskopi bagi merawat penyakit hernia perut pada Isnin.