CIDB perketat kawal selia bahan binaan import

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong / Foto CIDB

KUALA LUMPUR, 12 Ogos Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan memperketat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap produk bahan binaan yang memasuki pasaran negara bagi memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiap produk binaan mesti memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti untuk melindungi pengguna serta memastikan persaingan yang adil.
  • Kemasukan produk tidak mematuhi piawaian menjejaskan keselamatan, integriti pasaran dan mewujudkan persaingan tidak sihat.
  • Perkara diputuskan dalam sesi libat urus bersama CIDB dan Persatuan Kaca Malaysia pada 27 Julai.
  • Penguatkuasaan piawaian sebahagian pendekatan Ekonomi MADANI untuk tadbir urus lebih baik, kecekapan kawal selia dan perniagaan mampan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dalam kenyataan berkata, langkah itu termasuk memperkukuh kawal selia import, pemeriksaan pematuhan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan berkaitan produk bahan binaan.

“Isu kemasukan produk yang tidak mematuhi piawaian tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna, malah turut menggugat integriti pasaran dan mewujudkan persaingan tidak adil.

“Setiap produk yang dipasarkan di Malaysia perlu memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan. Ini penting bagi melindungi kepentingan rakyat, memastikan persaingan yang adil serta mengelakkan pihak yang mematuhi peraturan daripada terus berdepan persaingan tidak sihat akibat amalan perdagangan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Perkara itu diputuskan dalam sesi libat urus bersama CIDB dan Persatuan Kaca Malaysia (Malaysia Glass Association (MGA) yang dipengerusikan oleh beliau pada 27 Julai lalu.

Tambah beliau, usaha memperkukuh pematuhan piawaian merupakan sebahagian daripada pendekatan keseluruhan kerajaan, selaras aspirasi Ekonomi MADANI untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan kawal selia serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, berdaya saing dan mampan.

Beliau berkata tadbir urus pasaran yang berkesan bukan sahaja melindungi pengguna dan industri tempatan yang mematuhi peraturan, malah menyumbang kepada kestabilan ekonomi serta memperkukuh keyakinan pelabur.

Kementerian Kewangan juga akan terus bekerjasama dengan kementerian, agensi dan pihak industri bagi memperkukuh sistem kawal selia negara.

Sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, melindungi kepentingan dan keselamatan rakyat serta memperkukuh daya saing perusahaan tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.