Penyertaan Malaysia dalam APFRAS perkasa keselamatan makanan, tangani cabaran import

KKM meneroka penggunaan teknologi moden dalam menghadapi cabaran rantaian bekalan makanan global yang semakin kompleks

Kuala Lumpur, 11 Ogos – Penyertaan Malaysia menjadi ahli Asia-Pacific Food Regulatory Authority Summit (APFRAS) bertujuan memperkukuh peranan negara dalam transformasi pendigitalan tadbir urus keselamatan makanan peringkat serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peranan 'Smart Gatekeeper' untuk menerajui pendigitalan tadbir urus keselamatan makanan serta menyelaras perundangan inovasi makanan baharu.
  • Menekankan kawalan penggunaan pembungkusan mesra alam sebagai sebahagian usaha keselamatan dan kelestarian rantaian makanan.
  • KKM mengguna teknologi moden seperti AI dan analisis ramalan untuk pertingkat pemantauan keselamatan makanan di pintu masuk negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika berucap pada perasmian Persidangan Keselamatan Makanan 2026 menerusi kenyataan yang dikongsi memaklumkan penyertaan Malaysia dalam APFRAS memperkukuh peranan sebagai ‘Smart Gatekeeper’ di peringkat serantau dan bakal menerajui transformasi pendigitalan tadbir urus keselamatan makanan, mengawal penggunaan bahan pembungkusan mesra alam dan menyelaras kerangka perundangan inovasi makanan baharu.

“Langkah itu mendokong Dasar Keselamatan Makanan Negara dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara.

“Dalam masa sama mendepani peningkatan signifikan bekalan makanan import yang meningkat sebanyak 85 peratus dalam tempoh sedekad daripada RM42.6 bilion pada 2013 kepada RM78.9 bilion pada 2023,”jelasnya.

Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut memaklumkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu daripada 10 individu di seluruh dunia sakit setiap tahun akibat pengambilan makanan tercemar.

Dalam menghadapi cabaran rantaian bekalan makanan global yang semakin kompleks, KKM meneroka penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) dan analisis ramalan bagi mempertingkat kecekapan pemantauan serta kawalan keselamatan makanan di pintu masuk negara.

Persidangan Keselamatan Makanan 2026 selama dua hari anjuran Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) bertemakan “Inovasi dan Teknologi Baharu – Cabaran atau Peluang?” menghimpunkan lebih 300 peserta industri, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.