
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Hanya kerana tidak berpuas hati dengan kelewatan mengisi minyak, seorang lelaki bertindak agresif dengan mengacukan pisau pemotong daging terhadap seorang penghantar makanan dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Panjang, di sini, semalam.
- Mangsa berusia 26 tahun melarikan diri dari lokasi dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
- Insiden disaksikan oleh seorang pekerja stesen minyak yang berada berhampiran.
- Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun untuk membantu siasatan.
- Polis merampas pisau, motosikal dan barangan; suspek ada rekod lampau, ujian air kencing positif methamphetamine, disiasat di bawah Seksyen 506.
Kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu berlaku ketika mangsa, seorang lelaki berusia 26 tahun, sedang mengisi minyak motosikalnya sebelum didatangi suspek yang menaiki sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, suspek secara tiba-tiba memarahi mangsa sambil mengeluarkan kata-kata kesat dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang dianggap melambatkan proses pengisian minyak.
“Suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong daging dari bakul motosikalnya dan mengacukan ke arah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mangsa yang ketakutan segera melarikan diri dari lokasi kejadian dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Insiden berkenaan turut disaksikan oleh seorang pekerja stesen minyak yang berada berhampiran.
Susulan laporan polis yang dibuat kira-kira pukul 9.40 malam tadi, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun di sekitar Kuala Terengganu bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging, sebuah motosikal serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine,” jelasnya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini bagi permohonan reman selama empat hari sehingga 13 Ogos bagi membantu siasatan lanjut.