Data awal pelarian Myanmar dijangka diperoleh suku keempat 2026

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 9 Ogos – Data awal hasil pelaksanaan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) Myanmar bagi mengenal pasti dan merekodkan pelarian dari negara itu di Malaysia akan diperoleh pada suku keempat tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Imigresen dan PDRM sedang menjalankan pendataan serta mengenal pasti status pelarian Myanmar di depot imigresen.
  • Kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Malaysia dan kira-kira 100,000 dari Cox's Bazar; Wisma Putra urus penghantaran.
  • Mekanisme akan diwujudkan untuk menggalakkan pelarian di luar depot tampil mendaftar; istilah 'pelarian Myanmar' merangkumi pelbagai etnik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan proses pendataan dan mengenal pasti status pelarian Myanmar yang berada di depot imigresen.

Data itu, katanya akan digunakan dalam proses penghantaran pulang pelarian ke negara asal.

Ujar beliau, kerajaan Myanmar secara prinsipnya bersetuju menerima semula 5,000 pelarian yang berada di Malaysia, manakala kira-kira 100,000 pelarian dari Cox’s Bazar di Bangladesh.

“Kalau sah mereka itu berstatus pelarian, maka kita uruskan penghantaran. Yang itu akan dikendali oleh Wisma Putra. Saya tak boleh cakap bagi pihak Wisma Putra.Urusan kami menjalankan pendataan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelepasan Konvoi Jelajah Star City FC di sini.

Beliau turut memaklumkan, satu mekanisme akan diwujudkan untuk mendekati rakyat Myanmar yang berada di luar depot imigresen bagi menggalakkan mereka tampil mendaftar dalam proses pendataan.

Pada masa sama, Datuk Seri Saifuddin menjelaskan, istilah pelarian Myanmar digunakan secara menyeluruh kerana terdapat pelbagai etnik dalam kalangan komuniti pelarian dari negara berkenaan, bukan hanya Rohingya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.