
ALOR GAJAH, 7 Ogos – Peruntukan kerajaan yang disalurkan ke kawasan Parlimen bukan hak eksklusif seseorang wakil rakyat berkenaan demikian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Peruntukan kerajaan diberikan kepada rakyat untuk menyediakan kemudahan dan meningkatkan keselesaan serta taraf hidup di kawasan mereka.
- Sebelum ini peruntukan disalurkan melalui Ahli Parlimen untuk sekolah, sekolah agama, masjid, longkang dan kemudahan awam lain.
- Jika pendekatan melalui Ahli Parlimen tidak diterima kerajaan menyalurkan peruntukan terus kepada rakyat untuk meneruskan bantuan.
- Perdana Menteri menafikan dakwaan Ahli Parlimen bahawa peruntukan disekat dan menjelaskan tujuan penyaluran terus.
Beliau berkata peruntukan kerajaan itu diberi kepada rakyat bagi menyediakan pelbagai kemudahan untuk meningkatkan keselesaan dan taraf hidup rakyat di kawasan tersebut.
“Peruntukan yang disalurkan kerajaan adalah untuk manfaat rakyat. Sebelum ini, peruntukan berkenaan disalurkan melalui Ahli Parlimen bagi membiayai pelbagai keperluan seperti sekolah, sekolah agama, masjid, pembaikan longkang dan kemudahan awam lain.
“Namun, apabila ada pihak yang tidak menerima pendekatan tersebut, kerajaan memilih untuk menyalurkan peruntukan itu terus kepada rakyat agar segala inisiatif dan bantuan dapat diteruskan demi kepentingan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa Ahli Parlimen yang mendakwa peruntukan untuk mereka disekat kerajaan.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan tindakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Nurul Izzah Anwar memohon untuk melepaskan jawatannya pada Khamis, beliau berkata Nurul Izzah mempunyai program ‘di luar’ buat sementara waktu.