
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Individu yang menyertai aktiviti permotoran perlu sentiasa melindungi nyawa atau Hifz al-Nafs dengan memastikan hobi berkenaan tidak membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
- Niat mesti ikhlas, bukan untuk riak; beli peralatan demi keselamatan dan kebaikan, bukan pamer.
- Pastikan aktiviti tidak melanggar syariat atau membahayakan nyawa sendiri serta orang lain.
- Utamakan pemeliharaan nyawa (hifzun nafs); jalan raya bukan tempat berlumba, sentiasa berhati-hati terhadap kanak-kanak dan haiwan.
- Penganjur perlu sediakan garis panduan syariat, kawal aurat dan pergaulan, serta peraturan wajib dipatuhi peserta.
Pegawai Agama dan Imam 1 Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ramadhan Subky berkata, jalan raya bukan tempat untuk berlumba kerana ia dikongsi bersama pelbagai pengguna.
“Jalan raya bukan tempat nak berlumba kerana ada ramai pengguna lain. Kadang-kadang kita tidak sedar ada budak dan haiwan seperti kes langgar gajah di sebuah lebuh raya baru-baru ini.
“Sebab itu kena sentiasa berhati-hati ketika menunggang mahupun memandu di jalan raya,” katanya ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Menurut beliau, Islam tidak melarang umatnya mempunyai hobi termasuk aktiviti permotoran, malah ia boleh dikategorikan sebagai ibadah sekiranya dilakukan dengan niat dan cara yang betul.
“Ia bergantung kepada niat setiap individu sama ada dia membeli kelengkapan motosikal dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau menggalakkan rakan lain turut membelinya demi kebaikan dan keselamatan.
“Selagi niat bukan untuk riak dan tidak membahayakan orang lain, ia dibolehkan. Kena jaga niat kerana setiap perkara bergantung pada niat kita,” katanya.
Pada masa sama, Ramadhan berkata, penganjur program atau himpunan permotoran perlu memastikan aktiviti berkenaan berlangsung selari dengan tuntutan syariat.
Menurut beliau, aspek seperti menutup aurat dan menjaga batas pergaulan perlu diberi perhatian, selain penganjur menyediakan garis panduan serta peraturan yang mesti dipatuhi peserta.