73,000 murid Tahun Satu: KPM tambah guru, bilik darjah

Wong Kah Woh / RTM

PUNCAK ALAM, 5 Ogos- Keperluan kemudahan pendidikan terus diberi perhatian bagi menampung pertambahan murid baharu apabila kira-kira 73,000 murid Tahun Satu telah berdaftar untuk sesi persekolahan tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM menyediakan dan melantik guru baharu bagi menampung pertambahan murid.
  • Pembinaan bilik darjah tambahan dilaksanakan menerusi Sistem Binaan Berindustri (IBS).
  • Penempatan murid diurus Pejabat Pendidikan Daerah mengikut kapasiti dan permintaan kawasan setempat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil langkah awal termasuk penyediaan dan lantikan guru baharu serta pembinaan bilik darjah tambahan secara Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi memenuhi keperluan kohort berkenaan.

Katanya, penempatan murid akan dibuat mengikut permintaan di kawasan setempat serta kapasiti sekolah, dan tidak tertumpu kepada sekolah tertentu sahaja.

“Berdasarkan pengumuman KPM di Parlimen sebelum ini, kira-kira 73,000 murid telah berdaftar untuk memasuki Tahun Satu pada sesi persekolahan tahun depan.

“Sehubungan itu, KPM sedang melaksanakan pelbagai persediaan termasuk penyediaan dan lantikan guru baharu serta pembinaan bilik darjah tambahan menerusi IBS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Eco Grandeur di sini, hari ini.

Menurut Wong, penempatan murid akan diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan mengambil kira kapasiti sekolah serta jumlah pendaftaran yang diterima di setiap sekolah.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 38 sekolah baharu diluluskan KPM tahun ini dengan mengambil kira perkembangan kawasan perumahan baharu, pertambahan penduduk serta unjuran keperluan murid pada masa hadapan.

“Bagi tahun 2026, sebanyak 38 buah sekolah baharu telah diluluskan menerusi Belanjawan 2026. Sebelum ini, sebanyak 44 buah sekolah baharu diluluskan pada 2025, manakala pada 2024 sebanyak 26 buah sekolah baharu diluluskan.

“Perkara ini menunjukkan komitmen dan manifestasi daripada KPM serta Kerajaan MADANI dalam memastikan akses pendidikan dapat disediakan di mana sahaja apabila terdapat keperluan,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.