Taiwan uji kesiapsiagaan tentera hadapi kemungkinan ancaman

Foto AFP

TAIPEI, 5 Ogos – Taiwan memulakan latihan ketenteraan tahunan terbesar negara, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan pencerobohan oleh China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan melibatkan anggota tentera, simpanan dan orang awam, termasuk simulasi gangguan komunikasi dan amaran serangan udara.
  • Beijing meningkatkan tekanan ketenteraan dengan pesawat, kapal dan aktiviti zon kelabu oleh Pengawal Pantai, mengancam keselamatan Taiwan.
  • Kerajaan meningkatkan perbelanjaan pertahanan, perolehan dron dan strategi tidak simetri, namun perbalahan politik menjejaskan sebahagian pembiayaan.

Menurut pegawai pertahanan, latihan tahunan “Han Kuang” yang berlangsung dari 5 hingga 14 Ogos itu merangkumi pelbagai senario pertempuran bagi membolehkan anggota tentera dan pasukan simpanan berlatih menghadapi serangan ke atas pulau berkenaan.

Orang awam turut terlibat dalam latihan yang merangkumi simulasi gangguan komunikasi, termasuk memperlahankan sementara kelajuan internet mudah alih, serta latihan amaran serangan udara.

China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan berulang kali mengancam untuk menggunakan kekerasan bagi mengambil alih pulau yang mempunyai kira-kira 23 juta penduduk itu.

Beijing sejak beberapa tahun kebelakangan ini meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Taiwan dengan mengerahkan pesawat pejuang dan kapal perang mengelilingi pulau itu hampir setiap hari, selain mengadakan latihan ketenteraan berskala besar.

Pengawal Pantai China turut meningkatkan aktiviti yang dikenali sebagai “zon kelabu”, iaitu tindakan yang tidak mencapai tahap peperangan di sekitar Taiwan dan pulau-pulau luarnya.

Pada Rabu, puluhan anggota pasukan simpanan menjalani latihan menembak menggunakan raifal buatan Taiwan di sebuah pantai yang menghadap Selat Taiwan, lokasi yang dianggap berpotensi menjadi kawasan pendaratan tentera China sekiranya berlaku pencerobohan.

Presiden Taiwan Lai Ching-te berkata, peluasan pengaruh autoritarian oleh Parti Komunis China (PKC) telah meningkatkan ancaman keselamatan di seluruh dunia.

“Ketika autoritarianisme PKC terus berkembang, keganasan turut merebak ke setiap pelosok dunia.

“Kami akan terus memperkukuh pertahanan negara serta membina ketahanan dan daya tahan seluruh masyarakat,” katanya ketika berucap pada forum keselamatan sehari sebelum latihan bermula.

Taiwan turut meningkatkan perbelanjaan pertahanan serta mendapatkan aset ketenteraan yang lebih kecil dan lincah, termasuk dron bagi membolehkan tenteranya melaksanakan strategi peperangan tidak simetri bagi menghadapi China.

Bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) supaya meningkatkan perbelanjaan keselamatan, kerajaan Lai berikrar menaikkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Bagaimanapun, kerajaan berdepan pertikaian dengan parti pembangkang yang menguasai parlimen berhubung jumlah peruntukan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara.

Pada Mei lalu, parti Kuomintang (KMT) dan Parti Rakyat Taiwan (TPP) meluluskan belanjawan khas pertahanan berjumlah AS$25 bilion, iaitu kira-kira satu pertiga lebih rendah daripada jumlah yang dicadangkan Parti Progresif Demokratik (DPP) pimpinan Lai.

Pembangkang turut menggugurkan kira-kira AS$15 bilion yang dirancang kerajaan untuk perolehan dron buatan tempatan dan beberapa usaha lain bagi memperkukuh pertahanan.

Antara fokus utama latihan Han Kuang tahun ini ialah menyahpusatkan sistem pemerintahan dan kawalan bagi membolehkan komander serta pegawai di medan operasi membuat keputusan taktikal tanpa perlu menunggu arahan daripada pihak atasan.

Latihan ketahanan bandar turut diadakan serentak sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mempersiapkan seluruh negara menghadapi kemungkinan peperangan atau bencana alam.

Kelajuan internet mudah alih di beberapa kawasan di tengah dan utara Taiwan turut diperlahankan selama 30 minit ketika latihan amaran serangan udara bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kemungkinan gangguan komunikasi semasa krisis.

Taiwan turut akan mengerahkan kapal tentera laut dan kapal Pengawal Pantai bagi mengiringi penghantaran bekalan dalam simulasi sekatan laut oleh China di perairan timur pulau itu.

Menurut pegawai pertahanan sebelum ini, latihan berkenaan juga akan menilai keupayaan kilang yang digerakkan untuk menyokong pengeluaran semasa perang, selain menguji proses pemindahan kilang ketenteraan dan awam ketika konflik.

Menteri Pertahanan Taiwan Wellington Koo berkata, latihan itu akan terus dipertingkat bagi memastikan tahap kesiapsiagaan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Latihan sentiasa boleh dipertingkatkan. Oleh itu, kami akan terus menjalani latihan secara tekun dan intensif supaya bersedia sepenuhnya pada waktu aman serta mampu melaksanakan tugas ketika perang,” katanya. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.