Dua komander RSF antara 35 terbunuh dalam serangan dron di Darfur

Gambar hiasan/AFP

KHARTOUM, 3 Ogos- Sekurang-kurangnya 35 orang maut termasuk empat pemimpin suku kaum dan dua komander Pasukan Sokongan Pantas (RSF) selepas serangan dron ke atas sebuah mahkamah tradisional di Darfur, Sudan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan Emergency Lawyers berkata serangan menyasarkan mahkamah tradisional di kampung Garra al-Zawaya, Darfur Utara, sekitar pukul 1 tengah hari.
  • Orang awam berkumpul menghadiri prosiding tempatan di bawah pokok bersama pemimpin masyarakat ketika kejadian.
  • Konflik sejak April 2023 menyebabkan puluhan ribu terbunuh, jutaan mengungsi, dan kedua pihak dituduh melakukan jenayah perang.

Kumpulan hak asasi Emergency Lawyers yang merekodkan pelanggaran oleh tentera Sudan dan RSF sepanjang konflik tiga tahun itu berkata serangan berkenaan menyasarkan mahkamah di kampung Garra al-Zawaya, negeri Darfur Utara  kira-kira pukul 1.00 tengah hari waktu tempatan.

Menurut kumpulan itu, orang awam berkumpul bagi menghadiri prosiding berkaitan kes dan pertikaian tempatan ketika serangan berlaku.

Seorang saksi memberitahu AFP bahawa perbicaraan sedang berlangsung di bawah sebatang pokok dengan penyertaan pemimpin masyarakat setempat.

Tentera Sudan belum memberikan sebarang ulasan berhubung serangan itu, manakala kerajaan bayangan RSF menyifatkannya sebagai “jenayah mengerikan” dan mendakwa 37 orang terbunuh serta 50 lagi cedera.

Kampung Garra al-Zawaya terletak berhampiran bandar Kabkabiya di Darfur Utara, kira-kira 150 kilometer di barat El-Fasher, yang sebelum ini menjadi kubu terakhir tentera Sudan di Darfur sebelum ditawan RSF dalam serangan besar-besaran Oktober lalu.

Konflik antara tentera Sudan dan RSF tercetus sejak April 2023 selepas perebutan kuasa antara ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan dan pemimpin RSF, Mohamed Hamdan Daglo.

Peperangan itu telah mengorbankan puluhan ribu nyawa, menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal serta mencetuskan krisis kebuluran dan pemindahan terbesar dunia menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kedua-dua pihak berdepan tuduhan melakukan jenayah perang termasuk serangan rambang terhadap orang awam. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.