
KEMAMAN, 1 Ogos – Seorang pengurus restoran makanan segera maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) di sini pagi tadi.
- Sekumpulan penunggang berkonvoi ke Perhimpunan RXZ Members 8.0 di Kuala Nerus.
- Kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi di km 258.6 sebelum susur RnR Jabor; motosikal hilang kawalan dan melanggar penghadang.
- Mangsa Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20 tahun, disahkan meninggal di lokasi; mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi di kilometer 258.6 sebelum susur masuk ke Kawasan Rawat dan Rehat (RnR) Jabor, Perasing.
Mangsa bersama lima lagi rakannya dikatakan berkonvoi ke Kuala Nerus, Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, siasatan awal polis mendapati, motosikal ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di bahagian tengah lebuh raya.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak dan terjatuh ke dalam longkang di kawasan berkenaan” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan kejadian tersebut.
Mangsa Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.