PMKS kekal berdaya tahan, catat pertumbuhan 5.7 peratus pada 2025

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Julai — Sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) negara terus membuktikan daya tahannya apabila mencatat pertumbuhan 5.7 peratus pada 2025 meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi konflik geopolitik, perang perdagangan dan gangguan rantaian bekalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PMKS merekod nilai tambah meningkat kepada RM689.8 bilion, sekitar RM40 bilion lebih berbanding tahun sebelumnya.
  • Sumbangan PMKS kepada KDNK meningkat kepada 39.7 peratus.
  • Prestasi positif disokong pertumbuhan merentas lima sektor utama: pertanian, perlombongan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.
  • Cabaran termasuk perang tarif, konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan aliran modal global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka turut menerima tempias perubahan landskap ekonomi dunia, termasuk daripada perang tarif, konflik geopolitik serta perubahan aliran modal antarabangsa.

“Tahun lepas kita berdepan ketidaktentuan ekonomi global akibat perang tarif, perang perdagangan yang berlarutan, konflik di Ukraine, situasi di Asia Barat termasuk Gaza serta ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

“Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan rantaian bekalan global, malah turut mempengaruhi aliran modal berikutan ketidaktentuan ekonomi dunia,” katanya pada Sidang Media Prestasi PMKS 2025 di ibu negara.

Bagaimanapun, beliau berkata sektor PMKS negara terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila berkembang 5.7 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

“Ini merupakan pencapaian yang membanggakan apabila sektor PMKS merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus dengan nilai tambah mencecah RM689.8 bilion, meningkat kira-kira RM40 bilion berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut beliau, pertumbuhan tersebut turut meningkatkan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 39.7 peratus.

Steven berkata, prestasi positif itu disokong oleh pertumbuhan dalam kesemua lima sektor utama ekonomi iaitu pertanian, perlombongan dan pengkuarian, pembuatan, pembinaan serta perkhidmatan.

Katanya, sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar dengan pertumbuhan 5.7 peratus, didorong penggunaan domestik yang kukuh, peningkatan pendapatan pekerja, pertumbuhan pelaburan serta kestabilan harga.

“Sektor pertanian mencatat pertumbuhan 1.8 peratus, diikuti perlombongan dan pengkuarian sebanyak 4.4 peratus, pembuatan (4.8 peratus), pembinaan (12 peratus) dan perkhidmatan (5.7 peratus), sekali gus mencerminkan perkembangan menyeluruh sektor PMKS merentasi pelbagai industri” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.