
MELAKA, 31 Julai – Kira-kira 50 nelayan di Melaka mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran khas menjalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan Pulau Besar sejak 25 Jun lalu.
- Permohonan diterima setiap hari; kebanyakan pemohon nelayan dari kawasan Klebang hingga Merlimau.
- Kebenaran khas membolehkan nelayan berlesen menangkap ikan di kawasan larangan Pulau Besar mengikut syarat ditetapkan.
- Aktiviti dibenarkan hanya antara pukul 6 pagi hingga 6 petang.
- Nelayan perlu mendapatkan kelulusan tambahan dan mendaftar peralatan; pemancing darat masih dibenarkan tanpa had masa.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Saufi Affandi Talib berkata kebanyakan permohonan yang diterima daripada nelayan di kawasan berhampiran pulau berkenaan.
“Kita menerima permohonan setiap hari. Kebanyakan nelayan memohon untuk melakukan aktiviti tangkap ikan di kawasan Klebang hingga Merlimau,” katanya.
Permohonan tersebut dibuat susulan pelaksanaan kebenaran khas yang membolehkan nelayan berlesen di negeri itu menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan Pulau Besar mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Jelas Saufi, kebenaran khas itu hanya membolehkan aktiviti menangkap ikan bermula pukul 6 pagi hingga 6 petang.
“Aktiviti yang dibenarkan hanya melibatkan penggunaan peralatan kail-mengail seperti pancing, rawai serta candat sotong.
“Nelayan perlu mendapatkan pengesahan atau kelulusan tambahan serta mendaftarkan peralatan dalam lesen menangkap ikan mereka,” katanya lagi.
Manakala bagi pemancing awam dari daratan Pulau Besar, masih dibenarkan memancing tanpa had masa.
“Kawasan ini merekodkan antara 100 hingga 150 pemancing setiap minggu sekali gus menyumbang kepada peningkatan aktiviti pelancongan berasaskan rekreasi memancing di negeri ini,” ujar beliau.
Saufi ditemui selepas Perasmian Program Konservasi Rumpai Laut dan Pelepasan Ketam Bunga di sini.