
PUTRAJAYA, 31 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan generasi masa kini agar terus menghayati bahawa kebebasan, kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan anggota pasukan pertahanan negara.
- Darah Pahlawan Ulu Legong bukan sekadar hiburan, tetapi menyampaikan mesej penting tentang pengorbanan perwira.
- Persembahan sangat mengesankan dan menyayat hati, menyentuh perasaan rakyat.
- ATM dan Kementerian Pertahanan berjaya mengingatkan generasi kini erti sebenar kemerdekaan melalui pementasan.
- Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Panglima ATM dan Kementerian Pertahanan serta mendoakan keselamatan anggota pasukan.
Beliau menegaskan, persembahan dramatari bertajuk Darah Pahlawan Ulu Legong yang dipentaskan bersempena Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan 2026 bukan sekadar hiburan, sebaliknya membawa mesej penting supaya rakyat terus mengenang jasa serta pengorbanan para perwira yang mempertahankan tanah air.
“Persembahan itu sangat menarik, mengesankan dan menyayat hati sehingga menyentuh perasaan. Namun, ia bukan sekadar sebuah drama, sebaliknya mengingatkan kita tentang pengorbanan para pahlawan.
“Generasi hari ini perlu sentiasa ingat bahawa negara ini bebas, merdeka, aman dan makmur hasil daripada perkhidmatan serta pengorbanan anggota pasukan pertahanan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Perbarisan bersempena Sambutan Hari Pahlawan 2026 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.
Menurut beliau, usaha Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Kementerian Pertahanan mementaskan persembahan berkenaan berjaya memberi peringatan kepada generasi masa kini mengenai makna sebenar kemerdekaan yang dicapai hasil pengorbanan besar para perwira negara.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Panglima Angkatan Tentera dan Kementerian Pertahanan kerana berjaya mempamerkan serta mengingatkan generasi sekarang tentang erti sebenar kemerdekaan dan pengorbanan yang diperlukan untuk mempertahankannya.
“Kita juga mendoakan agar seluruh anggota pasukan keselamatan sentiasa diberikan keselamatan dalam melaksanakan amanah kepada negara,” katanya.