
PUTRAJAYA, 31 Julai – Pengorbanan pahlawan negara dalam mempertahankan kemerdekaan, keselamatan dan kedaulatan negara perlu sentiasa dikenang serta dihargai sebagai tanda penghormatan atas jasa mereka kepada tanah air.
- Sambutan Hari Pahlawan sebagai manifestasi penghargaan kepada pahlawan, khususnya warga ATM, atas pengorbanan menjaga keamanan dan kedaulatan.
- Penghargaan meliputi anggota sedang berkhidmat, pesara dan keluarga anggota yang gugur atau meninggal semasa bertugas.
- Perlu dipupuk dalam jiwa generasi kini dan akan datang supaya jasa pahlawan sentiasa dikenang dan dihargai.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, Sambutan Hari Pahlawan merupakan manifestasi penghargaan kepada seluruh pahlawan negara, khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah berkorban demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata, pengorbanan pahlawan sebelum kemerdekaan menjadi asas kepada pembebasan negara daripada penjajahan, manakala jasa anggota ATM selepas kemerdekaan pula memastikan keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Sesungguhnya, Hari Pahlawan merupakan manifestasi penghargaan kepada semua pahlawan negara dan warga ATM yang telah berkorban.
“Mereka yang berjuang sebelum kemerdekaan berkorban untuk mencapai kemerdekaan, manakala selepas kemerdekaan, mereka terus mempertahankan kemerdekaan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Perbarisan bersempena Sambutan Hari Pahlawan 2026 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.
Menurut beliau, penghargaan itu bukan sahaja diberikan kepada anggota ATM yang sedang berkhidmat, malah turut merangkumi pesara tentera serta keluarga anggota yang telah meninggal dunia atau gugur ketika melaksanakan tugas.
Selain itu katanya, pengorbanan pahlawan negara perlu terus dipupuk dalam jiwa generasi masa kini dan akan datang supaya jasa serta bakti mereka sentiasa dikenang dan tidak dilupakan.
“Ini juga menjadi satu peringatan kepada generasi sekarang dan akan datang bahawa penghargaan terhadap pahlawan negara perlu sentiasa dipupuk dalam minda setiap rakyat bagi menghargai segala pengorbanan mereka,” katanya.
Jeneral Tan Sri Malek Razak turut mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh pahlawan negara, khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia yang masih berkhidmat serta para pesara yang telah banyak berjasa kepada negara.