Kejohanan woodball dunia tingkat pelancongan, ekonomi Perlis

Foto RTM

KANGAR, 30 Julai – Penganjuran Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 dan Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-26 merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan sukan woodball di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilihan Perlis sebagai tuan rumah mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan negeri dan komitmen menyokong pembangunan sukan.
  • Kejayaan acara diukur melalui nilai murni seperti kesukanan, disiplin, integriti, ketekunan dan semangat saling menghormati.
  • Acara menyumbang kepada pelancongan, pertumbuhan ekonomi, pertukaran budaya dan meningkatkan profil antarabangsa Perlis.

Ia sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai tuan rumah bagi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa itu.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, pemilihan Perlis sebagai tuan rumah oleh Persekutuan Woodball Antarabangsa mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan negeri itu serta komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Titah baginda, kejayaan sebenar sesuatu acara sukan bukan hanya diukur melalui jumlah pingat yang dimenangi, sebaliknya turut dinilai berdasarkan nilai-nilai murni yang diterapkan sepanjang kejohanan berlangsung.

“Sepanjang kejohanan ini, kita telah menyaksikan tahap kesukanan, disiplin, integriti, ketekunan dan semangat saling menghormati yang tinggi dalam kalangan semua peserta,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 dan Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-26 di Dewan 2020, Kangar.

Tuanku Syed Sirajuddin juga bertitah, selain kecemerlangan dalam bidang sukan, kejohanan seperti ini turut memberikan sumbangan besar kepada sektor pelancongan, pertumbuhan ekonomi, pertukaran budaya serta meningkatkan profil antarabangsa negeri Perlis.

“Beta yakin pengalaman yang diperoleh melalui penganjuran kejohanan ini akan terus memperkukuh keupayaan kita untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan bertaraf antarabangsa pada masa hadapan,” titah baginda.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 yang berjaya mencatat kecemerlangan sepanjang lima hari pertandingan di Laman Woodball, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Kejohanan kali ini menghimpunkan seramai 460 pemain mewakili 13 negara serta enam pasukan negeri dan dikelolakan oleh Persatuan Woodball Negeri Perlis.

Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.