SPRM anjur kursus pemulihan aset berasaskan pengalaman 1MDB

Datuk Seri Abd Halim Aman/ Foto fail Facebook: SPRM

BANDARAYA MELAKA, 29 Julai- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan kursus berkaitan pengurusan aset pemulihan (asset recovery) bagi berkongsi pengalaman negara dalam menguruskan aset yang diperoleh semula daripada kes berprofil tinggi termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kursus diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melibatkan 11 negara ASEAN-PAC.
  • Malaysia memiliki pengalaman dan kepakaran dalam pemulihan aset hasil kes 1MDB untuk dikongsi.
  • Modul asset recovery disediakan bagi kes yang memerlukan pemulangan aset ke negara masing-masing.
  • Kursus dijangka berlangsung sebelum penghujung tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata kursus berkenaan akan diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dengan penyertaan melibatkan 11 negara ASEAN-PAC.

Beliau berkata Malaysia mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam proses pemulihan aset hasil daripada kes 1MDB yang boleh dikongsikan dengan negara lain.

“Kami akan menyediakan satu modul berkaitan asset recovery bagi kes-kes yang melibatkan pemulihan aset atau aset yang perlu dibawa balik ke negara masing-masing.

“Malaysia telah melalui proses kes 1MDB yang mana pemulihan aset itu masih berjalan dan kami mempunyai kepakaran dari segi itu melalui pengalaman yang dilalui. Pengalaman ini akan kami kongsikan kepada negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Seminar on Integrity in Major Infrastructure Project sempena ASEAN-PAC di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Abd Halim berkata kursus berkenaan dijangka diadakan sebelum penghujung tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.