
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Satu prinsip teras tadbir urus wakaf yang boleh diterima pakai pada peringkat antarabangsa, perlu diwujudkan bagi memperkukuh pengurusan wakaf Islam di seluruh dunia.
- Rangka kerja tadbir urus wakaf berasaskan piawaian sedia ada seperti Indonesia, AAOIFI dan Kazakhstan.
- Pertimbangkan INCEIF sebagai sekretariat untuk memudahcara koordinasi dan pelaksanaan prinsip bersama.
- Tubuhkan kumpulan kerja antarabangsa terbuka berasaskan rundingan memanfaatkan prinsip wakaf sedia ada.
- Prinsip teras diguna pakai secara sukarela oleh institusi wakaf tanpa mengurangkan kuasa perlembagaan negara.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah rangka kerja itu perlu dibangunkan berasaskan standard tadbir urus wakaf sedia ada; seperti diperkenalkan oleh Indonesia, Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) serta Kazakhstan.
Sultan Nazrin turut mencadangkan supaya mempertimbangkan universiti Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) untuk memainkan peranan sebagai sekretariat.
“Marilah kita menubuhkan satu kumpulan kerja antarabangsa yang bersifat terbuka dan berasaskan rundingan dengan memanfaatkan prinsip wakaf sedia ada Indonesia, piawaian wakaf AAOIFI, rangka kerja tadbir urus Kazakhstan serta garis panduan lain yang tidak sempat saya sebutkan.
“Bersama-sama, kita boleh membangunkannya menjadi satu set prinsip teras bersama yang boleh diterima pakai secara sukarela oleh institusi wakaf di pelbagai bidang kuasa, tanpa memerlukan mana-mana negara melepaskan kuasa yang diperuntukkan di bawah perlembagaan masing-masing,” titahnya.
Sutan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.