
PUTRAJAYA , 27 Julai – Politik negara perlu beralih daripada perdebatan berasaskan identiti kepada politik yang menilai prestasi dan hasil kerja demi memberi keadilan kepada rakyat.
- Ubah politik daripada identiti kepada penilaian prestasi dan hasil kerja demi keadilan serta manfaat nyata kepada rakyat.
- Politik identiti adalah permainan sifar yang destruktif; parti tidak wajar bersaing siapa lebih mewakili kaum atau agama.
- Penilaian harus fokus kepada keupayaan menangani kemiskinan, penyalahgunaan dadah dan isu sosial lain untuk kebaikan hidup rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selepas hampir tujuh dekad merdeka, perbahasan politik tidak seharusnya terus berkisar soal kaum dan agama, sebaliknya memberi peluang kepada rakyat menilai keupayaan sesebuah kerajaan atau parti berdasarkan pencapaiannya.
“Kita sudah 69 tahun merdeka, tetapi masih lagi bertarung dengan tajuk-tajuk lama. Bagi saya, politik seperti itu adalah politik yang destruktif. Politik identiti merupakan satu permainan sifar (zero-sum game) kerana tiada pihak yang benar-benar menang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Beliau berkata, parti politik tidak seharusnya bersaing untuk membuktikan siapa lebih mewakili sesuatu kaum atau agama kerana persaingan sedemikian tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Tidak mungkin saya dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa kami lebih Melayu berbanding UMNO atau Bersatu. Begitu juga saya tidak boleh mengatakan lebih Islam daripada PAS kerana itu adalah identiti dan niche mereka sebagai sebuah parti Islam. Jadi, siapa yang menang? Akhirnya ia tetap menjadi permainan sifar,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata rakyat lebih berhak menilai prestasi kerajaan melalui keupayaan menangani isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti kemiskinan dan masalah sosial.
Menurutnya, kemiskinan turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada pelbagai cabaran lain termasuk penyalahgunaan dadah, justeru perbahasan politik perlu lebih tertumpu kepada penyelesaian isu tersebut berbanding memainkan sentimen identiti.
Mengulas kenyataan beliau sebelum ini, Saifuddin menjelaskan pandangannya mengenai politik berasaskan prestasi dan kualiti bukan merujuk kepada proses pengundian awal yang berlangsung esok, sebaliknya merupakan pandangan umum mengenai hala tuju politik negara.