Kastam kutip hasil RM43.62 bilion setakat Jun, lepasi sasaran awal

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad (kanan) menunjukkan graf selepas Sidang Media Pencapaian Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Ibu Pejabat JKDM Putrajaya / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Julai – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merekodkan kutipan hasil sebanyak RM43.62 bilion setakat 30 Jun lalu, melepasi sasaran awal RM40 bilion, dengan lebihan RM3.62 bilion atau 109.05 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kutipan meningkat RM7.93 bilion atau 22.22 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
  • Penguatkuasaan mematahkan 3,609 kes penyeludupan dengan sitaan bernilai RM1.30 bilion, peningkatan 21.50 peratus.
  • JKDM terus memperbaiki strategi untuk mencapai sasaran RM80 bilion, fokus pada kes berimpak tinggi dan integriti penguatkuasaan.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Amran Ahmad berkata, kutipan itu turut meningkat RM7.93 bilion atau 22.22 peratus berbanding RM35.69 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, JKDM akan terus menambah baik strategi dan pendekatan sedia ada bagi mengekalkan momentum serta mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM80 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahun ini.

“Dari segi prestasi penguatkuasaan, JKDM telah berjaya mematahkan sebanyak 3,609 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai Kastam.

Tindakan penguatkuasaan ini melibatkan sitaan pelbagai jenis barangan dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.30 bilion. Pencapaian ini merekodkan peningkatan ketara sebanyak 21.50% bersamaan RM0.23 bilion berbanding RM1.07 bilion pada tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pencapaian JKDM Dalam Kutipan Hasil dan Penguatkuasaan Bagi Januari hingga Jun 2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rampasan dadah membabitkan 220 kes dengan nilai RM366.58 juta, diikuti rokok sebanyak 1,494 kes bernilai RM329.27 juta termasuk duti dan cukai.

Selain itu, sebanyak 511 kes rampasan kenderaan direkodkan bernilai RM191.07 juta, minuman keras melibatkan 417 kes bernilai RM81.41 juta, manakala sisa dan skrap mencatatkan 104 kes bernilai RM40.13 juta.

Kategori lain-lain komoditi pula merekodkan 863 kes dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM295.64 juta.

Beliau berkata, JKDM akan terus memberikan tumpuan kepada penguatkuasaan dengan memberikan tumpuan kepada kes berimpak tinggi bagi memaksimumkan keberkesanan setiap tindakan yang dilaksanakan.

Katanya, pihaknya kekal komited untuk memperkukuh kutipan hasil negara serta melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara tegas, berkesan dan berintegriti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.