Saham Asia melonjak dipacu sektor teknologi

Foto HIASAN

HONG KONG, 23 Julai  Saham syarikat teknologi melonjak semula pada Khamis, sekali gus memacu kebanyakan pasaran saham di Asia ke paras lebih tinggi disokong harapan baharu terhadap pemulihan sektor kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga minyak mentah naik susulan ketegangan antara AS dan Iran serta ancaman serangan ke atas infrastruktur Iran.
  • Pengumuman perbelanjaan Alphabet sebanyak AS$205 bilion mencetus kebimbangan mengenai nilai dan pulangan pelaburan AI.
  • Pelabur Asia membeli semula saham merosot, menyokong kenaikan Bursa Seoul, Tokyo, Hong Kong, Sydney, Taipei, Manila dan Jakarta.
  • Yen Jepun jatuh ke paras terendah empat dekad disebabkan jurang kadar faedah dan tekanan kenaikan harga minyak.

Bagaimanapun, harga minyak mentah terus meningkat berikutan ketegangan yang semakin meruncing antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Minat pelabur terhadap sektor AI sebelum ini terjejas berikutan kebimbangan mengenai penilaian harga saham yang terlalu tinggi serta persoalan tentang tempoh pulangan pelaburan trilion dolar dalam sektor tersebut.

Laporan kewangan induk Google, Alphabet, pada Rabu turut mencetuskan kebimbangan baharu selepas mengumumkan perbelanjaan mencecah AS$205 bilion untuk pembangunan AI tahun ini, iaitu jauh lebih tinggi daripada jangkaan.

Bagaimanapun, pelabur di Asia mengambil peluang untuk membeli semula saham-saham yang merosot sebelum ini.

Data menunjukkan, Bursa Seoul melonjak lebih 4 peratus pada satu ketika, dipacu oleh kenaikan gergasi cip SK Hynix dan Samsung.

Manakala Bursa Tokyo mencatatkan kenaikan disokong oleh saham Advantest dan Tokyo Electron.

Selain itu, pasaran saham di Hong Kong, Sydney, Taipei, Manila dan Jakarta turut mencatatkan trend positif.

“Syarikat Big Tech tidak perlu menghentikan perbelanjaan untuk memastikan musim pendapatan kekal positif tetapi perimbangan kewangannya perlu bertambah baik.

Keputusan terbaik akan datang daripada syarikat yang mampu membuktikan bahawa permintaan AI dapat ditukarkan kepada hasil, margin dan aliran tunai,” kata Charu Chanana daripada Saxo Markets.

Di pasaran tenaga, harga minyak mentah penanda aras Brent naik lebih 3 peratus dan melepasi paras AS$95 setong buat kali pertama, berikutan ancaman Presiden AS Donald Trump untuk menyerang infrastruktur Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas perkapalan di Selat Hormuz.

Ancaman itu disambut Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi sambil menegaskan bahawa Tehran akan bertindak balas terhadap sebarang serangan ke atas infrastrukturnya.

Situasi semakin meruncing apabila kumpulan pemberontak Houthi di Yaman mendakwa telah menyerang dua kapal tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah pada Rabu, sekali gus membuka konflik baharu di rantau tersebut.

Sementara itu di Jepun, mata wang yen terus merosot ke paras terendah dalam tempoh empat dekad berbanding dolar AS, diapit oleh jurang kadar faedah yang semakin melebar serta tekanan peningkatan harga minyak global.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.