Indiescovery 2026 satukan empat era muzik alternatif Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Empat nama besar muzik alternatif tempatan, Butterfingers, Bittersweet, Bunkface dan Masdo, bergabung dalam satu pentas menerusi Konsert Indiescovery 2026, meraikan perjalanan panjang muzik indie Malaysia yang merentasi pelbagai generasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konsert angkat evolusi muzik alternatif dari era kaset dan gig kecil ke pentas besar, mendapat sokongan peminat.
  • Persembahan nostalgia menonjolkan karya lama yang masih disayangi, membuktikan relevansi dan kesinambungan warisan indie tempatan.
  • Tenaga pentas moden dan retro serta semangat profesional dipamerkan: vokalis terus bernyanyi selepas terjatuh, penutup pula penuh tenaga.

Bukan sekadar persembahan hiburan, acara anjuran RR Music Entertainment itu mengangkat evolusi muzik alternatif tempatan daripada era kaset dan gig kecil-kecilan kepada pentas besar yang terus mendapat sokongan peminat.

Butterfingers membuka tirai nostalgia menerusi identiti muzik alternatif era 1990-an yang menjadi antara pencetus perkembangan genre berkenaan di Malaysia. Lagu popular seperti ‘Garden City of Light’ kembali bergema, membuktikan karya mereka masih mempunyai tempat di hati peminat.

Bittersweet pula mengimbau kembali zaman kegemilangan muzik indie 2000-an menerusi lagu Capital E dan Kucing Hitam. Persembahan mereka turut mencuri perhatian apabila vokalisnya, Hafizan Razali atau Fizan, tetap meneruskan persembahan selepas terjatuh dari pentas.

Masdo tampil dengan sentuhan tersendiri menerusi gabungan elemen retro dan moden. Lagu seperti Dinda, Janji Manis dan Teruna dan Dara menghidupkan suasana, manakala karya baharu Teristimewa membuktikan kreativiti kumpulan itu terus berkembang.

Menutup persembahan, Bunkface menghangatkan pentas dengan tenaga pop punk menerusi lagu popular Situasi, Ekstravaganza, Darah Muda dan Revolusi yang dinyanyikan bersama peminat.

Lebih daripada sekadar konsert, Indiescovery 2026 menjadi pertemuan empat era muzik alternatif Malaysia, menyatukan peminat lama dan baharu serta membuktikan muzik indie tempatan terus relevan sebagai sebuah legasi yang berkembang mengikut zaman.

Konsert tersebut telah berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.