Langkah 2018 sebahagian usaha pulihkan TH – Dr. Zulkifli

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Tuduhan bahawa mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir menjual aset strategik Tabung Haji (TH) disifatkan tidak benar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan 2018 adalah sebahagian daripada usaha menyelamat dan memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji.
  • Aset bermasalah dijual kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd melalui keputusan kolektif Jemaah Menteri.
  • Perjanjian jualan memperuntuk hak pembelian semula dan beberapa aset telah diperoleh semula mengikut nilai pasaran.
  • Kejayaan pemulihan dilihat melalui peningkatan deposit, kadar agihan keuntungan, dan perbincangan RCI di peringkat Jemaah Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan menegaskan, tindakan yang diambil pada tahun 2018 merupakan sebahagian daripada usaha menyelamat dan memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut.

Jelas beliau, keputusan menjual aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri, ketika itu.

“Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia telah mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti mencecah RM10.9 bilion pada tahun berkenaan.

Pada ketika itu juga berlaku krisis keyakinan hingga sekitar RM6 bilion dikeluarkan pendeposit dalam tempoh yang singkat, manakala usaha mendapatkan pinjaman siap sedia (standby loan) gagal. Sekiranya TH runtuh, kerajaan perlu menanggung liabiliti sekitar RM74.5 bilion kerana simpanan TH dijamin sepenuhnya oleh kerajaan,” jelasnya.

“Oleh itu kerajaan pada waktu itu bertindak menubuhkan USJB, sebuah syarikat milik penuh kerajaan untuk membeli aset TH yang bermasalah dan kurang berdaya saing pada harga premium dan bukan harga murah,” tambah beliau.

Dr. Zulkifli menyatakannya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Profesor Dr Noor Inayah Ya’akub di Dewan Negara.

Beliau turut menegaskan aset berkenaan tidak hilang daripada pegangan TH kerana perjanjian tersebut memperuntuk hak untuk membelinya semula.

Katanya lagi, seiring pemulihan prestasi kewangan TH, beberapa aset yang dijual sebelum ini telah diperoleh semula berdasarkan nilai pasaran semasa.

Antaranya, tanah di Tun Razak Exchange (TRX), yang dijual pada nilai RM400 juta pada 2018 sebelum dibeli semula pada harga RM270 juta.

Beliau berkata, kejayaan pelan pemulihan itu dapat dilihat melalui beberapa petunjuk prestasi semasa, termasuk jumlah deposit yang meningkat kepada RM95.1 bilion setakat pertengahan Jun lalu.

“Selain itu, kadar agihan keuntungan meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus pada tahun lalu, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun,” beliau menambah.

Mengenai cadangan mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH kepada umum, Dr. Zulkifli berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan naratif yang didakwa memutar belitkan fakta berhubung penjualan aset TH.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.