Polis tumpas sindiket dadah, rampas 6,000 pil yaba di Gua Musang

Dua suspek lelaki warga Myanmar ditahan bersama 6,000 pil yaba dianggarkan bernilai RM60,000 / foto RTM

GUA MUSANG, 22 Julai – Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dengan menahan dua lelaki warga Myanmar serta merampas 6,000 pil yaba dianggarkan bernilai RM60,000 dalam Op Tapis Bersepadu di Kampung Kuala Lah, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua suspek berusia 32 dan 36 tahun ditahan selepas kenderaan mereka terbabas lalu melanggar sebuah lori ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
  • Polis merampas sebuah kereta dan lima unit telefon bimbit dipercayai berkaitan kegiatan jenayah.
  • Ujian saringan air kencing kedua-dua suspek positif methamphetamine; seorang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata kedua-dua suspek berusia 32 dan 36 tahun itu ditahan selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebuah lori ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan satu bungkusan di dalam beg silang yang mengandungi 6,000 pil yaba dipercayai untuk tujuan pengedaran.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta dan lima unit telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah itu.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine, manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.