
RABAT, 20 Julai – Maghribi merancang untuk menambah sebanyak 60,000 katil hotel menjelang penganjuran bersama kejohanan Piala Dunia 2030, menurut Menteri Pelancongannya.
- Kerajaan melabur lebih 190 bilion dirham untuk infrastruktur seperti rel, jalan, lapangan terbang dan stadium menjelang Piala Dunia 2030.
- Maghribi menyasarkan 26 juta pelancong menjelang 2030, selepas hampir 20 juta lawatan tahun lalu.
- Strategi termasuk mempelbagaikan produk pelancongan, mengembangkan laluan udara ke China, AS dan Teluk, serta mempromosikan Rabat sebagai hab budaya dan sukan.
Negara di Afrika Utara itu kini sedang memanfaatkan gelombang publisiti susulan kejayaan pasukan itu mara ke suku akhir Piala Dunia 2026, selepas menjadi pasukan Afrika dan Arab pertama melangkah ke separuh akhir di Qatar empat tahun lalu.
Pihak berkuasa tempatan mahu menggunakan gelombang berkenaan untuk memacu keuntungan jangka panjang bagi industri pelancongan negara, yang kini menggaji ratusan ribu rakyat Maghribi dan menyumbang kira-kira 7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kami melihat Piala Dunia FIFA 2030 sebagai pemangkin (pertumbuhan ekonomi), bukannya titik penamat,” kata Menteri Pelancongan, Fatim-Zahra Ammor kepada Reuters.
Kerajaan Maghribi sedang melabur lebih 190 bilion dirham (kira-kira AS$20 bilion) untuk membina serta menaik taraf rangkaian kereta api, jalan raya, lapangan terbang, stadium dan infrastruktur bandar lain menjelang kejohanan 2030.
Maghribi merupakan salah satu daripada tiga hos utama bersama Portugal dan Sepanyol pada kejohanan Piala Dunia 2030.
Bagaimanapun, jumlah perlawanan yang bakal dihoskan oleh setiap negara masih belum diputuskan.
Berdasarkan data rasmi, Maghribi telah menambah sebanyak 45,000 katil hotel dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, menjadikan jumlah keseluruhan sedia ada melebihi daripada 300,000 katil.
Negara Afrika Utara itu menerima kehadiran hampir 20 juta pelancong tahun lalu, sekali gus menjadikannya destinasi paling banyak dilawati di benua Afrika.
Negara berkenaan kini menyasarkan untuk menarik 26 juta pelancong menjelang tahun 2030.
Dalam pada itu, Bank Pusat Maghribi menjangkakan pendapatan daripada sektor pelancongan akan mencecah rekod tertinggi sebanyak 161 bilion dirham menjelang 2027, berbanding 138 bilion dirham pada 2025.
Pertambahan laluan penerbangan dari Eropah turut memacu pertumbuhan sektor berkenaan.
Ammor berkata, “fasa pertumbuhan seterusnya” akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan ketibaan pelancong dari China, Amerika Syarikat (AS) dan Timur Tengah menerusi penambahbaikan hubungan laluan udara.
Selain itu, negara itu juga sedang berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan di luar destinasi tradisional seperti Marrakech dan Agadir.
Ini termasuk menjadikan ibu negara, Rabat yang terkenal dengan monumen berabad lamanya, muzium dan kemudahan sukan sebagai hab bagi acara kebudayaan, sukan serta pelancongan perniagaan.
“Kami perlu membuat pelaburan yang mampu mencipta nilai jangka panjang buat industri pelancongan Maghribi,” tambah beliau. – REUTERS