Kebakaran pusat logistik Coupang di Incheon berlarutan lebih 52 jam

Kepulan api dan asap dilihat dari pusat logistik Coupang di Incheon, Korea Selatan/ AFP

SEOUL, 20 Julai- Kebakaran di pusat logistik syarikat e-dagang terkemuka Korea Selatan, Coupang di Incheon masih belum berjaya dipadamkan selepas lebih 52 jam, namun setakat ini tiada mangsa dilaporkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gudang tiga tingkat dengan banyak bahan mudah terbakar menghasilkan asap tebal dan suhu tinggi, menyukarkan penglihatan serta kemasukan anggota bomba.
  • Pihak berkuasa mengarah perniagaan dan kilang berdekatan mengosongkan premis kerana kebimbangan sebahagian struktur mungkin runtuh.
  • Seramai 121 individu berjaya menyelamatkan diri; pihak bomba akan melakukan pemeriksaan semula dan siasatan punca selepas pemadaman.

Ketua Bahagian Tindak Balas Bencana 119 Balai Bomba Incheon Seobu, Jeon Jae-in berkata pusat logistik berkenaan merupakan gudang besar dengan struktur tiga tingkat yang menyimpan sejumlah besar bahan mudah terbakar menyebabkan asap tebal bersuhu tinggi menyukarkan jarak penglihatan dan kemasukan anggota bomba ke dalam bangunan.

Pihaknya juga telah mengarahkan perniagaan dan kilang berhampiran mengosongkan premis masing-masing berikutan kebimbangan sebahagian struktur bangunan itu berisiko runtuh.

“Sebagai tindak balas, pihak bomba menjalankan operasi pemadaman khas secara tiga dimensi yang menghubungkan usaha di darat dan udara,” katanya.

Menurut pihak bomba, kebakaran bermula kira-kira 6.54 pagi Sabtu di tingkat enam Pusat Logistik No. 32 Coupang di Incheon, barat Seoul sebelum merebak ke tingkat tujuh.

Jeon berkata seramai 121 individu yang berada di pusat logistik itu berjaya menyelamatkan diri.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak bomba akan menjalankan pemeriksaan semula di dalam bangunan selepas kebakaran dipadamkan sepenuhnya bagi memastikan tiada individu yang masih berada di situ,” katanya.

Punca kebakaran masih belum dikenal pasti, namun pusat logistik berkenaan menyimpan pelbagai bahan mudah terbakar termasuk barangan isi rumah, kotak kertas dan bahan pembungkusan vinil.

Pihak berkuasa akan menjalankan siasatan selepas operasi pemadaman selesai sepenuhnya, jelas Jeon. -Reuters

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.