
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Media yang beretika, bebas dan bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam memperkukuh demokrasi serta membentuk masyarakat yang bermaklumat, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
- Media perlu kekal profesional untuk menangani era maklumat dan cabaran berita palsu.
- Ucapan terima kasih kepada pengamal media; ditagih komitmen, pengorbanan dan jujur menyampaikan kebenaran demi rakyat.
- Malam Wartawan Malaysia menghargai kecemerlangan kewartawanan dan mengukuhkan hubungan strategik antara industri media, kerajaan dan korporat.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau memaklumkan peranan itu semakin penting dalam era yang dipenuhi pelbagai maklumat dan cabaran berita palsu.
“Terima kasih kepada seluruh pengamal media atas komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan. Semoga terus menjunjung integriti dan menyampaikan kebenaran demi kepentingan rakyat serta negara,” katanya.
Datuk Seri Fahmi turut memaklumkan beliau mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 yang menyaksikan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2025 bagi menghargai kecemerlangan dan sumbangan warga media.
Acara itu, yang berlangsung di sebuah hotel di sini semalam, menghimpunkan kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada ketua pengarang, editor, wartawan, pengamal media, wakil kementerian dan agensi kerajaan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi serta rakan strategik industri berkenaan.
MWM ialah acara berprestij tahunan anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang menjadi platform untuk menghargai sumbangan pengamal media, mengiktiraf kecemerlangan kewartawanan serta memperkukuh hubungan strategik antara industri media, kerajaan dan sektor korporat. – BERNAMA