
LABUAN, 16 Julai – Seorang nelayan dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti memasang pukat ikan di perairan Pohon Batu/Lubok Temiang, Labuan, awal pagi Rabu.
- Siasatan awal mendapati bot mangsa ditemui terapung tanpa mangsa, usaha mencari oleh kru kapal sebelum itu gagal.
- PDRM menyelaraskan operasi SAR bersama Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin Labuan, melibatkan 10 pegawai serta anggota.
- Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan di laut, memakai jaket keselamatan dan mematuhi prosedur operasi ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Wan Mohd Firdaus Wan Zaki dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian oleh kapten kapal pada pukul 10.20 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
“Siasatan awal mendapati mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, sedang memasang pukat menggunakan sebuah bot kecil sebelum bot berkenaan ditemui terapung tanpa mangsa di lokasi kejadian.
“Usaha mencari oleh kru kapal di sekitar kawasan itu bagaimanapun tidak berjaya sebelum laporan dibuat kepada pihak polis,” menurut kenyataan itu.
Susulan itu, PDRM menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan membabitkan 10 pegawai serta anggota bagi mengesan mangsa.
Orang awam, khususnya nelayan dan pengusaha bot, dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan di laut termasuk memakai jaket keselamatan dan mematuhi prosedur operasi yang ditetapkan.