
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan beberapa langkah persediaan bagi mengurangkan impak fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
- Pengurusan bekalan air pengairan melalui aset strategik, Sistem Pemantauan Pengairan Pintar dan Sistem Pengairan Titis serta pengukuhan infrastruktur pengairan.
- Pengeluaran padi dan tanaman: pengoptimuman penggunaan air, kaedah pengurusan air alternatif, R&D varieti tahan kemarau dan Operasi Pembenihan Awan.
- Penyaluran maklumat ramalan cuaca dan amaran awal gelombang haba secara berkala daripada MET Malaysia untuk memudahkan perancangan penanaman.
- Sokongan kepada sektor penternakan melalui Pertanian Persekitaran Terkawal seperti reban ayam tertutup serta bantuan PPSPA dan Tabung Bencana Pertanian.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, langkah itu merangkumi pembekalan air untuk pengairan, pengeluaran padi dan tanaman makanan, penternakan serta usaha memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi.
“Bagi pembekalan air untuk pengairan, kementerian memastikan bekalan air menerusi pengurusan aset air strategik, melaksanakan pengurusan sumber air secara bersepadu, memperluaskan penggunaan Sistem Pemantauan Pengairan Pintar (Smart Irrigation Monitoring System) dan Sistem Pengairan Titis (TITIS), selain memperkukuh infrastruktur pengairan.
“Bagi pengeluaran padi dan tanaman makanan pula, kementerian mengoptimumkan penggunaan sumber air, melaksanakan kaedah pengurusan air alternatif, mempergiat penyelidikan dan pembangunan varieti padi yang berhasil tinggi serta tahan kemarau, selain melaksanakan Operasi Pembenihan Awan di kawasan yang mengalami kekurangan sumber air kritikal,”katanya di Dewan Rakyat.
Pihak kementerian, turut menyalurkan maklumat ramalan cuaca dan amaran awal gelombang haba daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) secara berkala bagi memudahkan perancangan penanaman.
Bagi sektor penternakan, KPKM menggalakkan penggunaan Pertanian Persekitaran Terkawal (Controlled Environment Agriculture, CEA) seperti reban ayam tertutup, selain menyalurkan bantuan kepada penternak yang terjejas melalui PPSPA atau Tabung Bencana Pertanian (TBP).