
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Panduan gaji permulaan dan kenaikan gaji bawah inisiatif Dasar Gaji Progresif yang diperkenalkan Kerajaan MADANI berupaya menarik minat pekerja dengan bayaran gaji yang wajar khususnya dari kawasan luar bandar.
- PERKESO komited memperluas peluang pekerjaan, termasuk golongan belia luar bandar, demi kesejahteraan ekonomi dan pembangunan seimbang.
- Panduan gaji mengambil kira gaji minimum, gaji progresif, gaji permulaan graduan dan gaji berasaskan kemahiran.
- Panduan diwujudkan untuk memastikan pekerja menerima gaji wajar sambil mempertimbangkan kemampuan majikan membayar.
- Kadar gaji setimpal dengan pendidikan, kemahiran dan pengalaman boleh dirunding melalui kontrak atau perjanjian kolektif.
Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kementeriannya menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) komited untuk memperluaskan peluang mendapatkan pekerjaan termasuk golongan belia luar bandar sebagai usaha menjamin kesejahteraan ekonomi dan pembangunan negara yang seimbang.
“Panduan gaji permulaan yang akan mengambil kira gaji minimum, gaji progresif, gaji permulaan graduan dan gaji berasaskan kemahiran.
“Panduan ini diwujudkan bagi memastikan pekerja mendapat gaji wajar serta diseimbangkan dengan kemampuan majikan untuk membayar gaji pekerja,” katanya.
Tambah beliau, kadar gaji yang setimpal dengan tahap pendidikan, kemahiran dan pengalaman boleh dirundingkan dengan majikan melalui kontrak perkhidmatan atau perundingan perjanjian kolektif bagi pekerja yang mempunyai kesatuan kerja.
Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot Jaem berhubung langkah strategik dalam memperluaskan peluang pekerjaan dan pemberian gaji lumayan di kawasan luar bandar di Dewan Rakyat, hari ini.