
PUTRAJAYA, 14 Julai – Tindakan rejim Israel menahan Mufti Besar Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa, Sheikh Muhammad Hussein bukan sahaja mencabul kebebasan beragama, malah penghinaan terhadap institusi keilmuan Islam dan kesucian Masjid Al-Aqsa.
- YADIM menyokong ketegasan Dr Zulkifli Hasan yang mengecam tindakan rejim Zionis
- Menegaskan peranan mufti sebagai suara umat, penjaga ilmu dan lambang kewibawaan agama
- YADIM menggerakkan sukarelawan dan program pendidikan serta kemanusiaan untuk menyemarakkan solidariti dan kesedaran mengenai isu Palestin
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menerusi satu kenyataan menyokong ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang mengecam tindakan rejim Zionis itu.
“Mufti bukan sekadar seorang individu, sebaliknya merupakan suara umat, penjaga ilmu dan lambang kewibawaan agama.
“Menahan seorang mufti tidak akan memadamkan cahaya kebenaran, sebaliknya hanya memperlihatkan ketakutan rejim Zionis terhadap suara yang mempertahankan hak, maruah dan kebebasan rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
Sejak sekian lama, YADIM selalu institusi dakwah telah menggerakkan pelbagai inisiatif solidariti dalam usaha memastikan isu Palestin terus hidup dalam kesedaran rakyat Malaysia.
Di seluruh negara, Sukarelawan YADIM, Daie Komuniti, Rakan Siswa YADIM, Rakan Belia YADIM serta ejen-ejen dakwah digerakkan, bagi memperluas pendidikan masyarakat mengenai isu Palestin, menyemarakkan kesedaran awam dan menggerakkan lebih banyak program kemanusiaan demi membela nasib rakyat Palestin.
“Apa yang berlaku di Al-Aqsa bukan isu yang jauh daripada kita. Solidariti ini akan terus diterjemahkan melalui program-program yang menyedarkan masyarakat dan menyuburkan nilai kemanusiaan sejagat,” menurut YADIM.