Sultan Selangor tinjau LRT3 Shah Alam

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 13 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menaiki Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam bagi meninjau sendiri kemudahan pengangkutan awam moden yang menghubungkan Bandar Utama dengan Johan Setia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Disambut pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad.
  • LRT3 sepanjang 37.8 kilometer, perjalanan sekitar satu jam, merentasi 20 stesen termasuk 2.5 km laluan bawah tanah.
  • Baginda menzahirkan tahniah dan syabas kepada Prasarana atas kejayaan pelaksanaan serta pelancaran operasi LRT3.
  • Baginda harap lima stesen tertangguh disiapkan segera; merakam penghargaan kepada lebih 13,000 tenaga kerja selama 10 tahun.

Keberangkatan baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Stesen LRT Bandar Utama disambut pihak pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Perjalanan sejauh 37.8 kilometer itu mengambil masa kira-kira satu jam, merentasi 20 stesen termasuk laluan bawah tanah sepanjang 2.5 kilometer yang dibina bagi memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan berkepadatan tinggi.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan.

Sementara itu, menerusi kenyataan Istana Alam Shah, Sultan Selangor menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak Prasarana atas kejayaan merealisasikan serta melancarkan operasi LRT3 Laluan Shah Alam.

Baginda turut menzahirkan rasa syukur atas pelaksanaan projek infrastruktur pengangkutan awam itu yang diyakini mampu meningkatkan mutu kehidupan rakyat serta membantu mengatasi kesesakan lalu lintas.

Baginda turut menzahirkan harapan agar lima stesen yang ditangguhkan pembinaannya sebelum ini dapat disiapkan segera bagi kemudahan penduduk setempat.

Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada lebih 13,000 individu yang terlibat dalam pembinaan LRT3 sepanjang tempoh 10 tahun itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.