Kebakaran tapak pelupusan sampah Jakarta berjaya dipadamkan

Anggota bomba dan BNPB memadamkan sisa kebakaran di tapak pelupusan Jatiwaringin, Tangerang, Banten, Jakarta pada 2 Julai lalu/ AFP

JAKARTA, 10 Julai- Kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah di pinggir ibu negara Indonesia, Jakarta, berjaya dipadamkan selepas berlarutan lebih seminggu, membolehkan penduduk yang dipindahkan kembali ke kediaman masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran bermula 30 Jun; kerajaan tempatan mengisytiharkan tempoh darurat dua minggu.
  • Lebih 230 penduduk dipindahkan; 331 kes sindrom pernafasan akut dilaporkan tanpa kemasukan hospital.
  • BNPB: kebakaran memusnahkan kira-kira 15 hektar; pasukan bomba jalankan penyejukan intensif dan kekal berjaga.
  • Pihak berkuasa akan menyiasat punca; BMKG beri amaran musim kering lebih panjang dan risiko kebakaran meningkat kerana El Nino.

Kebakaran di tapak pelupusan Jatiwaringin di daerah Tangerang, barat Jakarta, berlaku pada 30 Jun lalu menyebabkan kerajaan tempatan mengisytiharkan tempoh darurat selama dua minggu.

Menurut Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia (BNPB), lebih 230 penduduk sebelum ini dipindahkan dari kawasan berkenaan, manakala 331 kes sindrom pernafasan akut dilaporkan tanpa sebarang kemasukan ke hospital.

Jurucakapnya, Abdul Muhari dalam kenyataan berkata kebakaran yang memusnahkan kawasan seluas kira-kira 15 hektar di tapak pelupusan itu berjaya dipadam sepenuhnya pada petang Khamis.

Beliau berkata pasukan bomba masih menjalankan fasa penyejukan secara intensif bagi memastikan kawasan terjejas benar-benar selamat.

“Pasukan gabungan kekal dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya bagi mempercepatkan proses membasahkan keseluruhan kawasan terbakar,” katanya.

Abdul Muhari berkata semua penduduk yang dipindahkan telah kembali ke rumah masing-masing.

Jerebu akibat kebakaran serta operasi penyemburan air menggunakan helikopter tidak menjejaskan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta yang terletak berhampiran.

Pegawai Kementerian Alam Sekitar Indonesia, Rizal Irawan berkata pihak berkuasa akan menyiasat punca kebakaran itu.

Sementara itu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) memberi amaran musim kering tahun ini dijangka lebih panjang dan lebih teruk berbanding biasa, sebahagiannya disebabkan fenomena El Nino yang meningkatkan risiko kebakaran hutan serta kemarau. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.