6,416 unit pengecas EV awam dipasang di seluruh negara setakat Mei 2026

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Sebanyak 6,416 unit pengecas awam bagi kenderaan elektrik (EV) telah dipasang di seluruh negara setakat 31 Mei lalu, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

RINGKASAN BERITA AI
  • 2,143 unit DC pantas dan 4,273 unit AC pengecas awam telah dipasang di seluruh negara.
  • Kerajaan melaksanakan GPP EVCB oleh PLANMalaysia untuk mempercepat kelulusan dalam 14 hari bekerja.
  • Libat urus berterusan dengan PBT, Suruhanjaya Tenaga, TNB, CPO, PIPEV dan MyZEVA bagi penyelarasan pelaksanaan.
  • Pengukuhan rantaian nilai tempatan melalui kerjasama OEM dan pembekal global untuk pemindahan teknologi serta pengeluaran bateri, motor dan ADAS.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,143 unit ialah pengecas pantas arus terus (DC) manakala 4,273 unit ialah pengecas arus ulang alik (AC).

“Bagi menangani cabaran kekurangan pengecas, kerajaan telah mengenal pasti isu-isu yang timbul dan telah menyusun serta melaksanakan langkah-langkah bagi meningkatkan bilangannya di seluruh negara.

“Dalam hal ini, pendekatan ‘Whole-of-Government’ terus diperkukuh melalui pelaksanaan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecas EV (GPP EVCB) oleh PLANMalaysia yang mempercepatkan kelulusan sehingga 14 hari bekerja.

Selain itu ia turut mengadakan libat urus berterusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Charging Point Operator (CPO), Persatuan Industri Pengecas EV (PIPEV) dan Malaysia Zero Emission Vehicle Association (MyZEVA),” menurut MITI menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu mengenai pendekatan dan perancangan strategik kerajaan dalam memperluas penggunaan EV di Malaysia.

Ini termasuklah kemampuan pemilikan, kesiapsiagaan infrastruktur pengecasan dan pembangunan ekosistem EV tempatan bagi menyokong agenda mobiliti rendah karbon serta mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

Selain itu, kerajaan memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian nilai tempatan melalui kerjasama strategik antara syarikat tempatan, syarikat pengeluar peralatan tulen (OEM) dan pembekal teknologi global.

Ini bagi mempercepat pemindahan teknologi serta meningkatkan pengeluaran komponen bernilai tinggi seperti bateri, motor pacuan elektrik dan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS).

MITI turut memaklumkan, melalui Projek EV Nasional yang diterajui oleh Perodua di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, sebanyak 62 syarikat pembekal tempatan serta lebih 300 jurutera dan pakar automotif tempatan telah dilibatkan dalam pembangunan EV.

“Pada masa yang sama, projek EV Proton turut menyasarkan penyertaan 40 syarikat tempatan dalam rantaian bekalannya.

“Inisiatif-inisiatif ini akan memperkukuh keupayaan vendor tempatan dalam pembuatan komponen EV, mempercepat pemindahan teknologi serta melibatkan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan EV di global,” tambah MITI.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.